Raja Noraina Raja Rahim dan Yusmizal Dolah Aling


SATU tapak pembinaan diarahkan tutup kerana gagal mematuhi prosedur operasi standard (SOP) di dalam Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) pada 16 Mei lalu.

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, hasil pemeriksaan Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan (CIDB) mendapati, 120 tapak binaan diperiksa oleh 98 petugas dengan 15 daripadanya mematuhi SOP ditetapkan, lapan tidak patuh manakala 96 yang lain masih tidak beroperasi.

Katanya, jumlah kumulatif tapak binaan diperiksa adalah 4,183, iaitu 425 daripadanya mematuhi SOP, 150 tapak tidak patuh SOP dan diberi amaran serta lima tapak binaan diarahkan tutup atas kesalahan melanggar SOP.

"Saya sebut perkara ini kerana sebelum ini terdapat kes positif di tapak pembinaan," katanya pada sidang media harian di Putrajaya hari ini.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata, penguatkuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) membuat pemantauan harian ke atas 25 jenis bekalan barangan di 1,003 premis perniagaan termasuk 823 peruncit, 149 pemborong dan 31 pengilang.

Menurutnya, secara keseluruhan bekalan barangan keperluan mencukupi dan mampu menampung keperluan dalam negara yang berterusan dan mudah diperolehi.

"Sejumlah 3,015 aduan harga dan bekalan direkodkan untuk tindakan bahagian penguatkuasa melalui sistem E-Aduan.

"Oleh itu, orang ramai dinasihatkan agar tidak bimbang dengan bekalan makanan dan keperluan harian sepanjang bulan Ramadan kerana ianya dijamin mencukupi," katanya.

Ismail sabri berkata pegawai penguatkuasa KPDNHEP juga melakukan 2,006 pemeriksaan khas Pematuhan SOP PKPB.

Katanya, pemeriksaan KPDNHEP mendapati 1,719 premis mematuhi SOP yang ditetapkan dan sebanyak 271 premis diberi nasihat dan 16 premis lagi diberi amaran atas ketidakpatuhan SOP.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 18 Mei 2020 @ 3:24 PM