GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
Nurul Hidayah Bahaudin


Kuala Lumpur: 49 individu daripada 10,963 warga asing yang menjalani ujian saringan Covid-19 dilaporkan positif, semalam.

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, Kementerian Sumber Manusia memaklumkan 582,347 pekerja warga asing membabitkan 30,467 majikan menjalani ujian saringan Covid-19, setakat ini.

"Daripada jumlah itu, 9,187 individu dilaporkan positif Covid-19, manakala 573,160 lagi individu dilaporkan negatif.

"Sehingga kini, sebanyak 1,508 klinik terbabit dengan program saringan ini selaras dengan pengumuman kerajaan yang mewajibkan semua pekerja warga asing menjalani saringan mulai 1 Februari lalu," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Ismail berkata, 1,470 individu tiba di semua pintu masuk antarabangsa negara dan menjalani kuarantin wajib, semalam.

Menurutnya, 137,581 individu pulang ke tanah air sejak 24 Julai 2020 yang ditempatkan di 77 hotel dan 11 institut latihan awam (ILA) serta institut pengajian swasta di seluruh negara.

"Seramai 7,351 individu sedang menjalani kuarantin, manakala 129,348 individu dibenarkan pulang dan 882 lagi dibawa ke hospital.

"Bagi isu tapak binaan pula, sebanyak 17 tapak binaan di seluruh negara diperiksa anggota penguatkuasa Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) dengan kesemuanya didapati patuh prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan.

"Secara keseluruhannya, CIDB sudah melakukan 15,985 pemeriksaan di 9,049 tapak binaan sejak 20 April 2020," katanya.

Mengulas mengenai barang keperluan asas, beliau berkata, penguatkuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) membuat 620 pemantauan harian terhadap 11 jenis bekalan barangan terdiri daripada 463 peruncit, 128 pemborong dan 29 pengilang, semalam.

"Pegawai penguatkuasa KPDNHEP juga melakukan 2,431 pemeriksaan khas pematuhan SOP dan daripada jumlah itu, 2,429 premis mematuhi SOP, manakala dua lagi premis diberi nasihat.

"Pemantauan dan pemeriksaan dilakukan oleh penguatkuasa KPDNHEP di peringkat peruncit dan pemborong mendapati bekalan makanan mencukupi," katanya.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 6 Mac 2021 @ 6:45 PM