KEADAAN bawah rumah kedai kayu yang hampir reput tempat Norlaila bersama tiga anak berteduh. FOTO Omar Ahmad
KEADAAN bawah rumah kedai kayu yang hampir reput tempat Norlaila bersama tiga anak berteduh. FOTO Omar Ahmad
Omar Ahmad


TIADA siapa sangka deretan rumah kedai usang di Jalan Skudai, Batu 10, Johor Bahru, salah satunya menjadi tempat berteduh empat beranak.

Ibu tunggal, Norlaila Abu Samah, 29, sudah tinggal di situ sejak lima tahun lalu bersama tiga anak berusia 10 hingga 13 tahun selepas ditinggalkan suami.

Rumah yang dihuni hasil ihsan tuan kedai tanpa sebarang bayaran sewa itu sudah hampir reput di bahagian atas kerana dimakan anai-anai.

Katanya, dia tinggal di bahagian aras bawah kedai kayu itu, namun sangat bimbang kerana keadaan kediaman yang reput serta bocor apabila hujan lebat.

NORLAILA bersama anaknya. FOTO Omar Ahmad
NORLAILA bersama anaknya. FOTO Omar Ahmad

"Saya perlukan tempat tinggal, sudah lima tahun saya menumpang di sini, dengan keadaan kayu yang reput dan bocor sehingga bahagian bawah ini ada kalanya dimasuki air.

"Saya tiada duit untuk menyewa kerana bantuan bulanan dari Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) RM200 dan Baitulmal RM700 saya gunakan untuk sekolah anak-anak serta makanan harian.

"Lagi bimbang dengan kehadiran haiwan berbisa seperti ular sebab pernah seekor ular masuk ke rumah ini, kami semua takut dan risau," katanya.

Norlaila berkata, dia juga menghidap kanser rahim tahap dua sejak enam tahun lalu.

Menurutnya, bagi menampung keperluan keluarga, dia hanya mengutip barangan terpakai dan mengambil upah mengemas rumah.

"Saya sudah lima kali jalani pembedahan untuk membuang ketumbuhan. Doktor ada menasihati saya supaya menjalani pembedahan besar dengan membuang rahim agar ketumbuhan tidak berulang.

"Tetapi saya risaukan anak yang tiada siapa jaga sekiranya saya berada di hospital dalam tempoh lama, ditambah dengan keadaan rumah yang tidak selamat," katanya.

Kehidupan Norlaila mendapat perhatian pertubuhan badan bukan kerajaan (NGO) Kelab Memanah Alam yang mengikuti perkembangan keluarga ini sejak 2018.

Presidennya, Nor Azhar Abdul Hamid berkata, setiap Ramadan mereka akan menyumbangkan barangan kelengkapan dapur.

"Tahun ini, kita hendakkan perubahan, sudah lima tahun Norlaila tinggal sini, rumah ini pun semakin hari semakin reput.

"Kita akan bantu usahakan supaya mereka sekeluarga boleh pindah di rumah sewa atau Projek Perumahan Rakyat (PPR)," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 9 Mei 2020 @ 10:41 PM