Omar Ahmad


AIDILFITRI kali ini sangat bermakna buat empat beranak yang pernah tinggal di bawah rumah kedai usang di Jalan Skudai Batu 10, Johor Bahru.

Ini kerana kerajaan negeri menawarkan satu unit rumah di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Kempas Permai untuk didiami Norlaila Abu Samah, 26, dan tiga anaknya.

Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Ayub Jamil berkata, sewa RM124 sebulan adalah jumlah yang mampu dibayar ibu tunggal itu.

Katanya, beliau sendiri meninjau rumah yang didiami keluarga Norlaila dan mendapati ia sangat tidak selamat.

"Saya ambil keputusan untuk kerajaan negeri beri satu unit rumah PPR di Kempas Permai.

"Norlaila akan berpindah secara beransur-ansur secepat mungkin, malah Yayasan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) juga akan membantu proses pemindahan mereka.

"Sekiranya perlu anak-anaknya pindah ke sekolah berdekatan dengan PPR itu, kita boleh bantu uruskan," katanya ketika ditemui selepas menyerahkan surat tawaran rumah PPR kepada Norlaila, hari ini.

Sementara itu, Norlaila melahirkan rasa syukur dan terima kasih kepada semua pihak yang membantunya.

Katanya, tahun ini memberi sinar baru buat keluarga kecilnya untuk meneruskan hidup dengan lebih selamat di rumah baru.

"Saya rasa gembira terima kasih banyak kerana dengan cepat saya dapat rumah. Tahun ini saya beraya di rumah baru," katanya ketika dibawa melihat kediaman baru di PPR Kempas Permai.

Semalam, dilaporkan Norlaila yang juga pesakit kanser rahim tahap dua bersama tiga anak berusia 10 hingga 13 tahun hidup daif menumpang selama lima tahun di bawah rumah kedai lama yang sudah reput dimakan anai-anai.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 10 Mei 2020 @ 5:49 PM
Ayub (Kanan) menyerahkan surat tawaran menduduki PPR Kempas Permai kepada Norlaila dan anak-anaknya di rumah baru mereka. FOTO OMAR AHMAD
Ayub (Kanan) menyerahkan surat tawaran menduduki PPR Kempas Permai kepada Norlaila dan anak-anaknya di rumah baru mereka. FOTO OMAR AHMAD