GAGAL mempamerkan tanda harga tepung dan gula menyebabkan seorang peniaga di daerah ini dikompaun RM1,000 oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNHEP) Daerah Kuala Pilah.  FOTO Ihsan KPDNHEP.
GAGAL mempamerkan tanda harga tepung dan gula menyebabkan seorang peniaga di daerah ini dikompaun RM1,000 oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNHEP) Daerah Kuala Pilah. FOTO Ihsan KPDNHEP.
Amran Yahya


SEORANG pemilik kedai runcit di Kuala Pilah dikenakan kompaun RM1,000 selepas gagal mempamerkan tanda harga pada barang kawalan iaitu gula dan tepung gandum.

Ketua Pegawai Penguat Kuasa Daerah, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Cawangan Kuala Pilah , Ahmad Khuzairi Salamat berkata, empat pegawai memeriksa premis itu pada 1.30 tengah hari semalam selepas menerima aduan orang awam.

"Peniaga sama pernah diberi teguran sebelum ini, namun masih berdegil, malah hasil pemeriksaan mendapati hanya 20 peratus tanda harga barangan dipamerkan.

"Justeru itu, kami mengeluarkan kompaun RM1,000 kepada pemiliknya. Kesalahan dilakukan mengikut Peraturan 3 (1) Perintah Kawalan Harga (PHOPR) 1993," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Ahmad Khuzairi berkata, ini adalah kesalahan pertama dilakukan peniaga terbabit dan tindakan tegas akan diambil sekiranya kesalahan sama berulang.

Beliau berkata, sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), bekalan barang keperluan asas untuk pengguna di Kuala Pilah dan Jempol adalah mencukupi.

"Bagaimanapun, semua peniaga diingatkan supaya mematuhi undang-undang dan peraturan ditetapkan kerajaan.

"Kami tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan tegas ke atas peniaga cuba mengambil kesempatan terutama dalam tempoh pelaksanaan PKP ini," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 9 Mei 2020 @ 2:35 PM