LOKASI yang menjadi 'port' melepaskan gian dadah bagi tiga beradik yang ditahan AADK Daerah Kuala Muda di Flat Paya Nahu 2, semalam. FOTO Ihsan AADK
LOKASI yang menjadi 'port' melepaskan gian dadah bagi tiga beradik yang ditahan AADK Daerah Kuala Muda di Flat Paya Nahu 2, semalam. FOTO Ihsan AADK
Nor Farhani Che Ad


TIGA beradik terdiri daripada dua wanita dan seorang lelaki antara 15 individu ditahan Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) dalam operasi yang diadakan di sekitar Sungai Petani, semalam.

Tiga beradik berusia 22, 24 dan 26 tahun itu ditahan bersama seorang lagi lelaki berusia 30 tahun di sebuah rumah yang dipercayai menjadi 'port' penagihan dadah di Flat Paya Nahu 2, di Sungai Petani.

Ketua Pegawai AADK Daerah Kuala Muda, Arnida Ishak berkata, turut berada di rumah terbabit semasa tangkapan dilakukan adalah tiga kanak-kanak berusia 2, 4 dan 9 tahun dan seorang bayi berusia 9 bulan.

"Seorang daripada kanak-kanak terbabit adalah adik bongsu kepada tiga beradik berkenaan, manakala dua lagi kanak-kanak serta bayi adalah anak dua wanita yang ditahan yang juga berstatus ibu tunggal.

"Siasatan mendapati rumah yang digunakan adalah rumah kosong yang dipercayai menjadi 'port' tiga beradik terbabit melepaskan ketagihan dadah," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Arnida berkata, operasi bermula 9 pagi hingga 11.30 malam itu, pihaknya melakukan serbuan di 10 kawasan sekitar Sungai Petani.

Antara kawasan yang digempur seperti Kampung Telok Nipah, Taman Permatang Katong, Kampung Pengkalan Bukit Kechil Simpor, Kampung Baru Sungai Lalang, Taman Murah Sungai Lalang, Flat Paya Nahu 1 dan beberapa kawasan lain.

Katanya, kesemua 15 yang ditahan berusia 22 hingga 44 tahun itu dibawa ke pejabat AADK Daerah Kuala Muda untuk tindakan lanjut.

Katanya, ujian saringan awal air kencing mendapati lapan daripadanya positif dadah jenis methamphetamine dan morfin manakala tujuh lagi positif methamphetamine.

"Mereka disiasat mengikut Seksyen 3 (1) Akta Penagih Dadah (Rawatan dan Pemulihan) 1983 Pindaan 1998," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 4 Mei 2020 @ 1:01 PM