Antara penagih dadah yang ditahan dalam serbuan yang diadakan sekitar Kuala Muda, Sungai Petani semalam. Foto Ihsan AADK
Antara penagih dadah yang ditahan dalam serbuan yang diadakan sekitar Kuala Muda, Sungai Petani semalam. Foto Ihsan AADK
Nor Farhani Che Ad


SEKUMPULAN penagih dadah bertempiaran lari dengan terjun ke sawah sebaik menyedari kehadiran anggota Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) ke kawasan ‘port’ penagihan yang terletak di Sungai Meriam, Kota Kuala Muda di Sungai Petani semalam.

Bagaimanapun, empat daripada mereka berjaya ditahan dalam operasi yang dianggotai oleh enam penguat kuasa AADK Daerah Kuala Muda itu.

Ketua Pegawai AADK Daerah Kuala Muda Arnida Ishak berkata, 13 penagih dadah termasuk tiga wanita ditahan di lokasi berasingan dalam operasi yang bermula 9 pagi hingga 6 petang itu di sekitar daerah itu.

“Sembilan lagi tangkapan dibuat di beberapa buah rumah di Flat Paya Nahu.

“Dalam satu lokasi serbuan ditemui dua lelaki dan dua wanita yang tinggal bersama dan sepasang lagi ditahan di rumah bersebelahan,” katanya.

“Di satu lagi lokasi, tiga lelaki ditahan di kawasan perumahan dengan dua daripada mereka adalah adik beradik.

Menurutnya, kesemua yang ditahan itu berusia antara 23 hingga 41 tahun dan mereka kemudiannya dibawa ke pejabat AADK Kuala Muda.

“Hasil ujian saringan awal air kencing mendapati sembilan daripadanya positif dadah jenis morfin dan empat lagi positif methamphetamine.

“Mereka ditahan dan disiasat mengikut Seksyen 3(1) Akta Penagih Dadah 1983 (Rawatan dan Pemulihan) pindaan 1998,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 31 Oktober 2019 @ 5:18 PM