Rosol (dua kiri) memeriksa harga telur ketika mengadakan lawatan di sebuah pasar raya di Kemasik, Chukai hari ini. Foto Rosli Ilham
Rosol (dua kiri) memeriksa harga telur ketika mengadakan lawatan di sebuah pasar raya di Kemasik, Chukai hari ini. Foto Rosli Ilham
Rosli Ilham

KEMENTERIAN Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) sedang menyiasat dakwaan peniaga runcit warga asing di Kelantan yang menaikkan harga barangan ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Timbalan Menterinya Datuk Rosol Wahid berkata, pihaknya sudah mengarahkan pegawai menyiasat perkara itu dan masih menunggu laporan siasatan terbabit.

"Kebanyakannya membabitkan kedai runcit diusahakan warga asing yang mengenakan harga melampau kepada penduduk kampung.

"Ia dikatakan membabitkan peniaga Aceh dan Pakistan. Kita akan siasat bukan sahaja di Kelantan malah di seluruh negara," katanya kepada media selepas mengadakan lawatan dan pemantauan harga di sebuah pasar raya di Kemasik, Chukai hari ini.

Rosol berkata, pihaknya akan mengenakan tindakan undang-undang yang tegas sekiranya peniaga itu terbukti mengaut keuntungan berganda.

"Kita minta kerjasama penduduk supaya dapat memberi butiran lengkap bagi memudahkan KPDNHEP menyiasat dan mendakwa mereka di mahkamah," katanya.

Sementara itu, Rosol berkata, KPDNHEP menerima sebanyak 16,843 aduan berhubung kenaikan harga barang menerusi aplikasi, WhatsApp, e-aduan dan Talian Hotline Pusat Arahan Penguatkuasaan (ECC).

"Daripada jumlah itu, sebanyak 1,599 aduan berhubung bekalan dan harga produk makanan dan minuman manakala 862 aduan mengenai topeng muka.

"Sebanyak 216 kes pelbagai kesalahan dicatatkan sepanjang PKP iaitu 162 kes di bawah Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan 2011 dan 29 kes di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961," katanya.

Menurutnya, sebanyak 168 kompaun dikeluarkan membabitkan jumlah sebanyak RM136,950 dan rampasan barangan berjumlah RM850,031 sejak 18 Mac lalu.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 2 Mei 2020 @ 4:56 PM