Zatul Iffah Zolkiply


Kuala Nerus: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Pengguna (KPDNHEP) akan menggerakkan lebih 2,000 penguat kuasa bagi memantau bazar Ramadan dan Aidilfitri di seluruh negara secara agresif.

Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Datuk Rosol Wahid berkata, selain dua lokasi berkenaan, pemantauan dan pemeriksaan turut dilaksanakan di pasar awam, pasar basah, pasar raya besar, pasar mini dan kedai runcit.

Beliau berkata, ia bagi memastikan pengguna tidak menjadi mangsa kenaikan harga pihak yang tidak bertanggungjawab.

Katanya, selain memantau harga bagi mengelak unsur pencatutan, operasi juga dilakukan bagi memastikan keberadaan barangan keperluan asas.

"Ada yang meramalkan harga akan naik Ramadan ini, jadi kita berharap peniaga dan pengusaha tidak terbabit dengan mencatut atau mengambil keuntungan berlebihan dan menganiayai pengguna.

BEKALAN minyak yang sukar diperoleh di Kampung Losong di sini. FOTO Faizul Azlan Razak.
BEKALAN minyak yang sukar diperoleh di Kampung Losong di sini. FOTO Faizul Azlan Razak.

"Kita pantau secara menyeluruh harga barangan ini terutama yang berasaskan telur dan ayam untuk tidak memastikan unsur pencatutan," katanya ketika ditemui selepas Program Penyeragaman Harga (PPH) di Kampung Baru, Pulau Redang di sini, hari ini.

Rosol berkata, kerjasama peniaga dan orang ramai diperlukan supaya barangan asas sentiasa dijual dengan harga berpatutan.

Katanya, orang ramai diminta membuat aduan kepada KPDNHEP sekiranya terdapat barangan keperluan yang dijual pada harga tidak munasabah atau sebarang salah laku peniaga.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 18 Mac 2022 @ 2:09 PM