GAMBAR Hiasan. FOTO NSTP
GAMBAR Hiasan. FOTO NSTP
Roselan Ab Malek


Temerloh: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) menerima aduan mengenai kemungkinan kenaikan harga telur ayam pelbagai gred sebanyak lebih tiga peratus, menjelang Aidiladha pada 20 Julai ini.

Sehubungan itu, Timbalan Menterinya, Datuk Rosol Wahid berkata, pihaknya akan menyiasat perkara berkenaan.

"Siasatan akan dilakukan mengikut Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011," katanya ketika pemeriksaan harga barangan di Tunas Manja Mall, di sini, petang hari ini.

Turut hadir, Timbalan Pengarah (Pencegahan) Bahagian Penguatkuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Aris Mamat.

Rosol berkata, siasatan awal mendapati kenaikan harga itu mungkin tidak dapat dielakkan berikutan banyak ladang ternakan ayam ditutup berikutan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) menyebabkan penawaran berkurangan, manakala permintaan terhadap bahan itu meningkat.

"Saya dimaklumkan telur ayam akan ada kenaikan kerana difahamkan banyak ladang ladang ayam ini, kini tidak beroperasi.

"Walaupun ada kenaikan, kita akan pantau kenaikan itu sebab dua tiga hari lalu kita dapat mesej daripada sahabat mengatakan akan ada kenaikan harga, ia turut diakui sendiri pengeluar telur ayam," katanya.

Beliau berkata, pihaknya memahami situasi yang terpaksa ditanggung peniaga, namun tindakan tegas akan diambil sekiranya harga dinaikkan tidak munasabah.

Dalam pada itu, beliau berkata, bekalan barangan keperluan menjelang Aidiladha mencukupi kecuali tepung gandum bersubsidi.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 16 Julai 2021 @ 11:24 PM