Zatul Iffah Zolkiply


Kuala Berang: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) mengesan 111 peniaga yang menjual minyak masak botol melebihi harga kawalan membabitkan sitaan bernilai RM13,961.50 dalam tempoh 1 Ogos hingga semalam.

Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Datuk Rosol Wahid berkata, daripada jumlah itu, kompaun bernilai RM26,850 turut dikeluarkan mengikut Perintah Kawalan Harga dan Antipencatutan (Penentuan Harga Maksimum) (No 6) 2021, Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 kerana kesalahan menjual melebihi harga maksimum.

Beliau berkata, kesemua kesalahan itu dikesan hasil daripada 19,266 pemeriksaan di seluruh negara sejak pelaksanaan harga runcit maksimum minyak masak dalam botol bermula 1 Ogos lalu.

Katanya, Johor merekodkan kes tertinggi iaitu sebanyak 44 kes diikuti Perak (23 kes), Pulau Pinang (sembilan), enam kes masing-masing di Kelantan, Terengganu, Sarawak dan Melaka, Pahang (empat kes), Negeri Sembilan (tiga kes), Sabah (dua kes) serta masing-masing satu di Kedah dan Selangor.

"Daripada jumlah itu, seramai 14,456 peniaga menjual mengikut harga kawalan yang ditetapkan manakala 4,699 peniaga lagi menjual di bawah harga kawalan ditetapkan.

"Kerajaan sebelum ini menetapkan harga maksimum runcit bagi minyak masak sawit tulen dalam botol pada harga RM29.70 bagi botol lima kilogram (kg), RM18.70 bagi botol tiga kg; RM12.70 bagi botol dua kg dan RM6.70 bagi botol satu kg.

"Harga minyak masak bersubsidi dalam paket satu kg pula ditetapkan pada harga RM2.50, " katanya ketika ditemui pada Lawatan Ke Penternakan Kelulut di sini hari ini.

DATUK Rosol Wahid (tengah) ketika ditemui pada Lawatan Ke Penternakan Kelulut di Kampung Machang, Ajil. FOTO Zatul Iffah Zolkiply
DATUK Rosol Wahid (tengah) ketika ditemui pada Lawatan Ke Penternakan Kelulut di Kampung Machang, Ajil. FOTO Zatul Iffah Zolkiply

Ketika ditanya mengenai rungutan di media sosial mengenai kekurangan minyak masak paket satu kg di Terengganu, Rosol yang juga Ahli Parlimen Hulu Terengganu berkata, kementerian tidak menerima laporan mengenai dakwaan ketiadaan minyak masak dalam paket satu kilogram di Terengganu setakat ini.

Katanya, pemeriksaan harian pegawai penguat kuasa dan Pegawai Pemantau Harga mendapati bekalan minyak masak di seluruh negara stabil dan mencukupi.

"Setakat ini, kita tidak terima aduan dan mengenai kekurangan bekalan itu, mungkin ada salah faham dan kita akan siasat seterusnya mencari punca mengapa stok minyak paket satu kilogram ini tiada di pasaran seperti yang dilaporkan di media sosial.

"Ketika ini, ketiadaan bekalan itu dilaporkan berlaku di beberapa daerah di Terengganu dan pengguna boleh membuat aduan bagi membolehkan tindakan lanjut diambil.

"Pada masa sama, kita akan mempergiatkan pemantauan untuk memastikan bekalan minyak masak sentiasa mencukupi," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 2 Oktober 2021 @ 3:53 PM