AKTIVITI mencandat sotong. FOTO NSTP
AKTIVITI mencandat sotong. FOTO NSTP
Zatul Iffah Zolkiply


ORANG awam tidak dibenarkan ke laut termasuk melakukan aktiviti mencandat sotong sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan.

Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Terengganu, Kapten Maritim Muhammad Suffi Mohd Ramli berkata, hanya nelayan tempatan memiliki permit atau lesen sah daripada Jabatan Perikanan Malaysia sahaja dibenarkan untuk tujuan berkenaan sepanjang tempoh PKP.

Beliau berkata, aktiviti mencandat sotong bermula April di Terengganu memang dinantikan peminatnya, namun aktiviti itu tidak dibenarkan ketika PKP.

"Jadi, kami mengingatkan semua nelayan supaya tidak membenarkan individu atau kumpulan bukan kru sah berada di atas bot mereka bagi tujuan melakukan aktiviti mencandat sotong.

"Tindakan mengikut Peraturan 3 (1) Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-langkah di dalam kawasan tempatan jangkitan) 2020 yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga enam bulan atau denda RM1,000 atau kedua-duanya sekali boleh dikenakan kepada mana-mana pihak yang ingkar.

"Malah, kami tidak teragak-agak menarik semula kebenaran untuk bot beroperasi yang diberikan sebelum ini," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Muhammad Suffi berkata, pihaknya sentiasa mempergiatkan rondaan pengawasan Op Covid-19 di perairan negeri terutama bagi mengelak kemasukan nelayan asing yang dikhuatiri membawa kepada penularan wabak berkenaan.

Katanya, selain melaksanakan tugas bagi memastikan PKP dipatuhi, pihaknya melakukan rondaan bagi membanteras aktiviti jenayah rentas sempadan seperti pencerobohan nelayan asing terutama nelayan asing Vietnam.

"Sehingga hari ini, sebanyak 26 pengusiran bot nelayan dari Vietnam dilakukan.

"Tindakan ini selaras dengan kenyataan Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebelum ini yang menyatakan tindakan pengusiran dilaksanakan terhadap bot nelayan asing tanpa tangkapan," katanya.

Dalam perkembangan lain, Muhammad Suffi berkata, pihaknya turut memberi bantuan berbentuk keperluan asas kepada komuniti nelayan terjejas sepanjang tempoh PKP dilaksanakan.

Katanya, bantuan diagihkan melalui wakil Persatuan Nelayan Kuala Terengganu Selatan itu diharap dapat meringankan beban mereka yang terjejas.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 1 Mei 2020 @ 2:59 PM