Zatul Iffah Zolkiply


Kuala Terengganu: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) melupuskan secara hancur musnah sebuah bot nelayan Vietnam yang dilucut hak kerana menceroboh perairan negara, semalam.

Pengarah APMM Terengganu Kepten Maritim Muhammad Suffi Mohd Ramli berkata, kaedah itu dilakukan berikutan bot berkenaan tidak sesuai untuk dijadikan tukun tiruan kerana mengalami kerosakan teruk.

Menurutnya, tindakan pelupusan dibuat ke atas bot nelayan asing warga Vietnam mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Perikanan 1985 kerana menangkap ikan tanpa kebenaran Ketua Pengarah Perikanan Malaysia.

"Bot yang dihancur musnah ini ditahan pada tahun lalu kerana menceroboh perairan dan mencandat sotong tanpa kebenaran," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Muhammad Suffi berkata, bot berkenaan bersama enam kru ditahan pada kedudukan 112 batu nautika dari Kuala Terengganu pada 3 April tahun lalu.

BOT nelayan Vietnam yang dilupuskan secara hancur musnah oleh Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia. FOTO ihsan APMM
BOT nelayan Vietnam yang dilupuskan secara hancur musnah oleh Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia. FOTO ihsan APMM

Katanya, semua nelayan asing terbabit dikenakan denda berjumlah RM2.1 juta, namun masing-masing memilih untuk dipenjarakan antara lima hingga tujuh bulan.

"Kita sentiasa tegas dalam melaksanakan undang-undang di perairan negeri bagi memastikan sumber perikanan negara dapat dilindungi dan kedaulatan negara terpelihara," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 20 Jun 2022 @ 1:11 PM