Zatul Iffah Zolkiply


Kuala Terengganu: Perairan negara terus menjadi sasaran nelayan asing untuk diceroboh sebelum mencuri hasil laut negara susulan penahanan empat bot nelayan Vietnam membabitkan rampasan bernilai RM6 juta.

Keempat-empat bot nelayan itu ditahan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) ketika Op Kuda Laut pada jarak antara 77 hingga 78 batu nautika dari Kuala Terengganu pada 4 pagi kelmarin.

Pengarah Maritim Negeri Terengganu, Kepten Maritim Muhammad Suffi Mohd Ramli berkata, kapal peronda Kapal Maritim (KM) Nusa yang melakukan rondaan menerima maklumat melalui pusat operasi terdapat bot mencurigakan dipercayai bot nelayan asing disyaki melakukan aktiviti penangkapan ikan.

Beliau berkata, KM Nusa bergerak ke lokasi kejadian dan mendapati terdapat empat bot nelayan bersama 46 orang termasuk tekong dan awak-awak Vietnam berusia 15 hingga 62 tahun sedang leka menangkap ikan.

MUHAMMAD Suffi (kiri) menunjukkan sebahagian hasil tangkapan laut yang dirampas daripada empat bot nelayan Vietnam. FOTO Ghazali Kori
MUHAMMAD Suffi (kiri) menunjukkan sebahagian hasil tangkapan laut yang dirampas daripada empat bot nelayan Vietnam. FOTO Ghazali Kori

"Mereka ditahan kerana menceroboh perairan negara dan tidak memiliki dokumen pengenalan diri yang sah serta tidak memiliki sebarang kebenaran melakukan aktiviti penangkapan ikan di perairan Malaysia.

"Mereka ditahan bersama hasil tangkapan laut iaitu 14 tan ikan campur dan ikan baja, sotong, 4,000 liter diesel serta peralatan menangkap ikan membabitkan rampasan bernilai RM6 juta.

"Siasatan awal mendapati, bot nelayan Vietnam terbabit sudah berada di perairan negara dalam tempoh lebih sebulan berdasarkan hasil tangkapan yang diperolehi," katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Muhammad Suffi berkata, semua nelayan dan empat bot itu tiba di Jeti APMM negeri pada 3 petang semalam sebelum menjalani proses saringan Covid-19.

Katanya, kru APMM yang terbabit dalam operasi turut dikuarantin sehingga keputusan dikeluarkan.

"Kes disiasat mengikut Akta Perikanan 1985 kerana menceroboh dan menangkap ikan di perairan Malaysia dan Akta Imigresen 1959/63 kerana tekong dan kru tidak memiliki sebarang dokumen pengenalan diri yang sah," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 23 Jun 2021 @ 5:58 PM