GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Ekhwan Haque Fazlul Haque


BUDAYA kerja norma baharu adalah cabaran yang perlu diadaptasi untuk pekerja dan majikan pasca Covid-19.

Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M Saravanan berkata, pekerja dan majikan perlu mengubah cara bekerja, berfikir, bertindak dan berinteraksi seiring situasi semasa.

"Budaya norma baharu pekerjaan adalah cabaran baru majikan dan pekerja untuk bertindak dengan bijak, menerokai idea kerja baharu bagi menghadapi persekitaran kerja yang kompleks dan sentiasa berubah.

"Kita perlu terima hakikat perniagaan, pekerjaan dan kehidupan akan berubah kepada norma baharu walaupun selepas berakhirnya Perintah Kawalan Pergerakan (PKP)," katanya ketika perutusan sempena Hari Pekerja, hari ini.

Untuk rekod, tema Hari Pekerja tahun ini adalah Pekerja dan Cabaran Budaya Norma Baharu.

Saravanan berkata, KSM perlu membuat semakan semula perundangan perburuhan supaya bertepatan dengan keperluan masa kini.

Beliau berkata, pendekatan ini bagi memastikan undang-undang perburuhan sentiasa relevan dalam memberi jaminan hak, kebajikan dan keselamatan pekerja dilindungi.

Katanya, cabaran besar susulan Covid-19 adalah kelembapan ekonomi global namun Malaysia mampu bertahan seterusnya berupaya mengekalkan suasana aman.

"Inisiatif diumumkan Perdana Menteri menerusi Program Pengekalan Pekerjaan (ERP) dan Program Subsidi Upah dapat mengekalkan 8.1 juta pekerja.

"Setakat ini, Program ERP menerima 25,411 permohonan daripada majikan membabitkan 208,907 pekerja manakala Program Subsidi Upah pula 234,801 majikan memohon untuk 1.85 juta pekerja," katanya.

Saravanan berkata, kementeriannya bersama agensi berkaitan sedang merangka strategi baharu dalam menghadapi pasca Covid-19 dan PKP.

Katanya, Jabatan Tenaga Kerja akan memainkan peranan signifikan dalam Program Penempatan Semula Pekerja untuk memastikan kes pemberhentian kerja berlaku pada tahap minimum.

"Pembangunan Sumber Manusia Berhad (HRDF) dan Perbadanan Tabung Pembangunan Kemahiran (PTPK) akan memastikan dana latihan menjurus kepada jaminan pekerjaan.

"Jemaah Menteri menubuhkan Jawatankuasa Khas Kabinet bagi membendung impak Covid-19 keatas ekonomi dan pasaran buruh bagi membangunkan langkah strategik bagi melindungi ekonomi, pasaran tenaga kerja yang terkesan," katanya.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 1 Mei 2020 @ 2:02 PM