MAJIKAN menemuduga pencari kerja pada Karnival Kerjaya Jamin Kerja Keluarga Malaysia 2022. FOTO Saifullizan Tamadi
MAJIKAN menemuduga pencari kerja pada Karnival Kerjaya Jamin Kerja Keluarga Malaysia 2022. FOTO Saifullizan Tamadi
Fahmy A Rosli dan Mohd Nasaruddin Parzi


Kuala Lumpur: Kementerian Sumber Manusia (KSM) tidak menolak kemungkinan pekerjaan dalam sektor ekonomi gig akan menjadi pilihan utama individu yang menganggur sekiranya gaji minimum tidak dinaikkan.

Menterinya, Datuk Seri M Saravanan menyifatkan ia cabaran besar yang bakal dihadapi kerajaan untuk 'memujuk' mereka merebut peluang yang ditawarkan di bawah program padanan kerja kelolaan kementerian.

Justeru, kata beliau, KSM sedang mengkaji untuk meningkatkan gaji minimum untuk memastikan golongan berkenaan yang memilih pekerjaan sektor ekonomi gig supaya mengambil peluang pekerjaan sedia ada.

Kata beliau, melalui latihan disediakan dan program bekerja di rumah, rakyat Malaysia khususnya yang hilang peluang pekerjaan telah mencapai pendapatan lebih daripada RM1,200.

"Maka cabaran hari ini, KSM...kita adakan Penjana Kerjaya macam ini untuk kita perlu mencari, mengenalpasti, memujuk pihak majikan untuk memberikan satu pendapatan lumayan.

"Kalau tidak, mereka yang masih menganggur akan pilih (pekerjaan) ekonomi gig sebagai pilihan sekiranya mereka tidak dapat apa-apa melebihi RM1,200. Saya fikir mereka pilih ekonomi gig untuk kerja. Ini satu cabaran besar," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap di Majlis Pelancaran Inisiatif JaminKerja di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) di sini, hari ini.

Saravanan berkata, sektor kritikal seperti pelancongan yang terjejas teruk ekoran pandemik Covid-19 akan diberi tumpuan di bawah Inisiatif JaminKerja Keluarga Malaysia.

Katanya, ia bagi menyokong pemulihan dalam industri berkenaan.

"Menerusi usaha seperti ini, diharapkan isu pengangguran dalam kalangan Keluarga Malaysia dapat ditangani dengan berstruktur, berkesan dan menyeluruh.

"Saya juga sudah mengarahkan Perkeso sebagai penyedia perkhidmatan pekerjaan negara untuk mengadakan lebih banyak program untuk membantu lebih ramai pencari kerja mendapatkan bantuan penempatan pekerjaan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 19 Februari 2022 @ 3:06 PM