GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Hayati Ibrahim


MAJIKAN boleh mengambil langkah sewajarnya untuk mengelakkan pemberhentian pekerja disebabkan penularan wabak Covid-19.

Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, langkah itu sudah disyorkan dalam tatacara keharmonian perusahaan atau 'Code of Conduct'.

"Ia termasuk mengehadkan kerja lebih masa dan mengurangkan hari bekerja dalam seminggu atau mengurangkan bilangan kerja seminggu," katanya pada Perutusan Khas Perdana Menteri sempena Hari Pekerja 2020, hari ini.

Muhyiddin berkata, sempena Hari Pekerja, majikan dan pekerja diingatkan supaya sentiasa mematuhi Akta Kerja 1955, Akta Perusahaan 1966 dan akta perburuhan dibawah Kementerian Sumber Manusia (KSM) yang sedang berkuat kuasa.

Katanya, KSM sudah mengeluarkan panduan pelaksanaan bayaran gaji penuh, gaji cuti sakit dan hospitalisasi bagi pekerja yang dikuarantin.

Selain itu, katanya, alternatif tindakan cuti tanpa gaji dan pengurangan gaji dengan persetujuan bersama antara majikan dan pekerja dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

"Semua majikan dikehendaki mematuhi garis panduan mengenai pengendalian isu berhubung penularan Covid-19 di tempat kerja, khususnya yang membabitkan perintah kuarantin, cuti sakit dan pemberhentian pekerja.

"Besarlah harapan saya supaya semua warga pekerja dan majikan dapat terus mendokong dan menjiwai cara kerja baharu atau norma baharu pekerjaan dalam keadaan kita sedang menangani wabak Covid-19.

"Insya Allah, kita pasti menang," katanya.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 1 Mei 2020 @ 1:36 PM