JENIS pakaian perlindungan diri yang dijahit penghuni penjara Seremban.
JENIS pakaian perlindungan diri yang dijahit penghuni penjara Seremban.
Mohd Amin Jalil


TERKURUNG di sebalik tirai besi tidak menghalang 30 penghuni Penjara Seremban menyumbang tenaga dan kemahiran apabila menyiapkan 4,838 peralatan perlindungan peribadi (PPE) bagi kegunaan petugas barisan hadapan.

Pengarah Jabatan Penjara Seremban, Penolong Kanan Komisioner Muhammad Nazri Nasrudin berkata, projek menjahit PPE itu bermula awal bulan ini untuk disumbangkan kepada petugas barisan hadapan membabitkan empat jabatan termasuk agensi swasta.

"Kami menerima permintaan daripada Hospital Tuanku Ja'afar (HTJ) Seremban dan Pusat Kesihatan Daerah (PKD) selain Pertubuhan Amal Perubatan Ibnu Sina Malaysia (PAPISMA) dan Hospital Islam Az-Zahrah (HIAZ).

"Sehingga kini kami menyiapkan keseluruhan 4,838 PPE membabitkan pakaian, sarung kepala dan kasut yang diserahkan kepada pihak berkenaan.

"Bagi HTJ sahaja, kami menyiapkan PPE membabitkan pakaian dan sarung kepala sebanyak 1,680 manakala bagi keperluan PKD pula sebanyak 1,460 unit membabitkan pakaian, sarung kepala dan kasut," katanya di Seremban, hari ini.

Muhammad Nazri berkata, setiap hari, penghuni yang mendapat bimbingan tenaga pengajar dan dibantu kakitangan penjara mampu menghasilkan sekitar 250 unit PPE dengan proses menjahit bermula dari 9 pagi hingga 5 petang.

Beliau berkata, projek menjahit PPE masih diteruskan sehingga wabak Covid-19 berakhir.

Menurutnya, pihaknya turut menerima kunjungan pegawai tinggi HTJ dan Jabatan Kesihatan Negeri Sembilan (JKNS) dan Pusat Kesihatan Daerah Seremban baru-baru ini, bagi menyaksikan sendiri proses menjahit PPE di Penjara Seremban.

"Kami amat berbangga kerana dapat menyumbang kepada petugas barisan hadapan dalam menangani Covid-19.

"Penghuni penjara teruja kerana dapat membantu pihak berkaitan dan menyumbang untuk kepentingan masyarakat dan negara, walaupun masih menjalani hukuman atas kesalahan lampau," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 30 April 2020 @ 5:01 PM