SHAIFUL Nizam Abu Bakar menunjukkan PPE  dihasilkannya untuk disumbangkan kepada petugas barisan hadapan. FOTO Ihsan Shaiful Nizam
SHAIFUL Nizam Abu Bakar menunjukkan PPE dihasilkannya untuk disumbangkan kepada petugas barisan hadapan. FOTO Ihsan Shaiful Nizam
Ekhwan Haque Fazlul Haque


BEKERJA dari rumah selain kemahiran menjahit yang dimiliki digunakan lelaki ini untuk menyumbang sesuatu kepada barisan hadapan yang bertungkus-lumus ‘berperang’ dengan Covid-19.

Bagi Penolong Pegawai Penguatkuasa Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Shaiful Nizam Abu Bakar, 40, dia menggunakan kemahiran menjahit untuk menghasilkan peralatan perlindungan diri (PPE) yang kini menjadi keperluan mendesak bagi barisan hadapan.

Dia yang bertugas di Unit Khidmat Sosial dan Kemasyarakatan JPJ Pulau Pinang berkata, idea membantu menghasilkan PPE tercetus selepas terbaca status rakan Facebook yang mencari sukarelawan untuk menjahit PPE.

Katanya, rakannya itu menerima sumbangan material PPE daripada badan bukan kerajaan (NGO) namun memerlukan tukang jahit untuk menyiapkan pakaian dalam tempoh segera.

“Tanpa berlengah saya terus menawarkan diri memandangkan saya juga kini bekerja dari rumah dan boleh digunakan untuk menyiapkan PPE.

“Secara kebetulan skop tugasan berkaitan dengan khidmat komuniti dan saya fikir ini adalah sebahagian daripada tugas saya mewakili JPJ untuk membantu masyarakat,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Shaiful Nizam berkata, dengan bantuan beberapa rakan penjahit di sekitar Seberang Perai Utara, PPE itu kini sudah mula diagihkan kepada hospital dan barisan hadapan yang memerlukan.

Katanya, setiap hari beliau akan menjahit bermula jam 8 pagi hingga 2 pagi keesokanya bergantung kepada jumlah baju yang mahu disiapkan.

“NGO menerima 6,000 meter kain daripada penyumbang dan ia akan diagihkan kepada penjahit selepas siap dipotong sebelum dijahit menjadi baju.

“Projek ini baru bermula minggu lalu dan dianggarkan kami sudah menyiapkan lebih 1,000 pasang PPE untuk diedarkan kepada barisan hadapan,” katanya.

Shaiful Nizam berkata, walaupun bukan berada di barisan hadapan, dia tetap mengerti keperitan yang perlu ditempuh petugas kesihatan dan keselamatan demi memastikan Malaysia bebas daripada pandemik maut itu.

Katanya, ini adalah sumbangan kecilnya dan rakan penjahit kepada komuniti dan berharap ia dapat memberi manfaat sepanjang barisan hadapan bertugas.

“Secara tidak langsung ini adalah pelaburan saham akhirat saya. Walaupun sumbangan ini tidak sebesar mana namun saya puas hati kerana kemahiran dimiliki memberi manfaat pada orang lain,” katanya yang berpengalaman selama tujuh tahun menjahit pelbagai jenis pakaian moden dan tradisional.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 7 April 2020 @ 1:19 PM