WAN Mohd Zakri Wan Mohd. FOTO ihsan Wan Mohd Zakri.
WAN Mohd Zakri Wan Mohd. FOTO ihsan Wan Mohd Zakri.
Malik Muhamad


“SUAMI yang berpoligami atau mempunyai lebih daripada satu isteri dituntut berlaku adil walaupun dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bagi mengelak berlakunya krisis atau konflik yang mungkin boleh menjurus kepada perceraian.

“Selain itu suami isteri yang sudah memfailkan perceraian atau berhasrat untuk membatalkan perkahwinan boleh menggunakan tempoh ‘bertenang’ susulan PKP ini untuk kembali memupuk kasih sayang sebagaimana ketika zaman mula bercinta dahulu.

Ini peringatan dan nasihat daripada Ketua Hakim Syarie Terengganu, Wan Mohd Zakri Wan Mohd yang meletakkan harapan tinggi agar pasangan umat Islam yang sudah berumah tangga dapat menjadikan tempoh PKP ini sebagai rahmat untuk kembali mengeratkan hubungan kasih sayang dan bukannya mementingkan perasaan dan emosi yang tidak stabil.

“Usah tambah lagi kes melibatkan perceraian sedia ada di mahkamah. Sebaliknya tempoh PKP adalah peluang terbaik buat pasangan yang berselisisih ataupun dalam krisis supaya dapat berdamai serta menginsafi ketika negara berdepan dengan ujian wabak Covid-19 ini dan bukannya mencari jalan singkat dan sempit untuk bercerai.

“Bagi yang sudah memfailkan perceraian di mahkamah dan hanya menunggu proses perbicaraan, tempoh PKP yang sudah memasuki fasa ketiga lebih sebulan ini harus dijadikan medan untuk muhasabah diri masing-masing agar dapat kembali bersatu.

“Saya juga turut meletakkan harapan yang tinggi agar suami yang mempunyai isteri lebih daripada satu agar dapat berlaku adil kepada mereka daripada segi nafkah zahir dan batin sepanjang tempoh PKP.

“Suami juga tidak harus mencipta alasan tidak masuk akal, ego dan keras kepala, sebaliknya sentiasa bertolak ansur bagi memastikan tidak ada pihak yang teraniaya dan seterusnya mengelakkan mereka daripada berpisah apatah lagi menjelang ketibaan bulan Ramadan.

“Ini kerana dalam menjalani kehidupan sebagai pasangan suami isteri sudah pasti ada pasang surutnya, namun antara elemen paling penting dalam berumah tangga adalah tidak lupa memanjatkan doa kepada Allah SWT selain nafkah kepada anak-anak juga tidak boleh dilupakan.

“Selain itu masyarakat perlu bermuhasabah terhadap peranan yang harus dimainkan sama ada sebagai isteri, suami, ibu bapa atau anak dan cuba memperbaikinya ke arah yang lebih baik sebagaimana ketika Saidina Ali meminang Saidatina Fatimah, Baginda SAW berpesan kepada Saidina Ali dengan ungkapan: “Beliau (Fatimah) milikmu, tetapi berlaku baiklah terhadapnya.” (Riwayat at-Tabrani).

“Ini kerana konsep membina hubungan dengan penuh kasih sayang dan makruf antara suami dan isteri dalam sebuah keluarga adalah begitu dituntut kerana dalam alam berumah tangga akan bertemu dengan dua suasana berbeza iaitu kita sendiri dan pasangan,” katanya yang berharap pasangan yangmempunyai konflik rumah tangga dapat menyelesaikannya secara mawaddah, rahmah dan sakinah.

Beliau berkata, 1,238 kes bermula 18 Mac hingga 28 April di seluruh negeri terpaksa ditangguhkan perbicaraan susulan PKP bagi membendung wabak Covid-19.

“Daripada keseluruhan jumlah itu, 45 peratus adalah kes permohonan untuk bercerai, kes permohonan pengesahan bercerai (perceraian berlaku di luar mahkamah) dan kes tuntutan pembubaran perkahwinan seperti tuntutan fasakh dan ta’liq.

“Saya menyeru dan merayu agar suami isteri yang berdepan dengan krisis rumah tangga agar dapat berbincang dengan penuh hikmah bersama pasangan masing-masing ataupun mendapat sesi kaunseling di Majlis Sulh di Mahkamah ataupun di pejabat agama terdekat selepas tempoh PKP berakhir bagi mengelak berlakunya perceraian,” katanya yang turut mengajak masyarakat mematuhi PKP bagi memutuskan rantaian Covid-19.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 21 April 2020 @ 10:50 AM