ANGGOTA penjara memakai contoh pakaian perlindungan diri (PPE). FOTO Nik Abdullah Nik Omar
ANGGOTA penjara memakai contoh pakaian perlindungan diri (PPE). FOTO Nik Abdullah Nik Omar
Siti Rohana Idris


SEBANYAK 10,000 unit peralatan perlindungan diri (PPE) yang dijahit 40 banduan Penjara Pengkalan Chepa, Kota Bharu sudah diagihkan kepada petugas kesihatan di seluruh Kelantan.

Pengarah Penjara Pengkalan Chepa, Penolong Kanan Komisioner Mat Yaacob berkata, 21 banduan lelaki dan 19 wanita menjahit kelengkapan itu di bengkel jahitan penjara sejak 18 Mac lalu dan mampu menghasilkan antara 350 hingga 500 PPE setiap hari.

Katanya, disebabkan permintaan tinggi, pihaknya dibolehkan untuk membenarkan banduan menjahit setiap hari, berbanding lima hari dalam seminggu, sebelum ini.

“Banduan juga komited menjahit PPE ini dan menganggapnya sumbangan kecil mereka kepada petugas barisan hadapan dalam mengekang Covid-19,” katanya pada sidang media di Kota Bharu, hari ini.

Terdahulu, Penjara Pengkalan Chepa menerima sumbangan 10 mesin jahit industri daripada Persatuan Bulan Sabit Merah Kelantan (PBSMK) untuk keperluan menjahit PPE.

Mat berkata, rekaan PPE itu dibuat Universiti Malaysia Kelantan (UMK), manakala bahan mentah dibekalkan PBSMK.

Penjara turut menerima bantuan kewangan daripada Exco Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan (NGO) negeri, Wan Roslan Wan Hamat dan Rotary Club Kota Bharu untuk keperluan menjahit PPE.

Sementara itu, Timbalan Pengerusi PBSMK Dr Seri Buana Zainudin berkata, mesin jahit berkos RM21,000 terbabit untuk menampung permintaan pihak hospital terhadap PPE.

“Kita berharap selepas ini dapat menghasilkan sekurang-kurangnya 1,400 PPE bagi menampung keperluan di beberapa hospital lain pula, antaranya di Pasir Puteh, Jeli Tanah Merah dan Gua Musang,” katanya.

Sebelum ini, PPE dihasilkan dibekal kepada Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II), Kota Bharu; Hospital Sultan Ismail Petra, Kuala Krai dan Hospital Tumpat.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 16 April 2020 @ 6:53 PM