Syaherah Mustafa


"DI balik tirai besi ini, saya belajar mengenal Tuhan, jiwa lebih tenang apabila setiap hari mengerjakan solat lima waktu dan membaca al-Quran," kata remaja yang kini menjadi banduan di Penjara Pengkalan Chepa, Kota Bharu.

Dikenali sebagai Wan, 17, dia mengakui hidupnya sejak beberapa tahun lalu terumbang-ambing dengan pelbagai masalah dunia kerana terbabit dalam dadah bermula di bangku sekolah.

Katanya, dia tidak menyangka penjara tempat paling tenang buat insan sepertinya kerana merasa lebih terkawal selain diberi ajaran agama dan 'dipaksa' mendekatkan diri kepada Pencipta.

"Sebelum ini, saya pernah dimasukkan ke Sekolah Henry Gurney (SHG) selama beberapa tahun kerana kesalahan jenayah di usia muda, namun sebaik bebas sekali lagi saya tersasar dengan dadah menyebabkan ditahan di penjara ini.

"Sejak beberapa bulan saya menjadi tahanan reman di sini, setiap hari kami diwajibkan menunaikan solat lima waktu secara berjemaah selain turut diberi ilmu agama dan diajar mengaji oleh ustaz.

"Malah, saya dapat mengasah bakat menjadi muazim serta mendapat naib johan dalam pertandingan azan dianjurkan pihak penjara," katanya.

Wan yang berasal dari Rantau Panjang berkata, setiap masalah serta tekanan dalam dirinya seperti hilang sebaik dia melaungkan alunan azan.

Katanya, dia nekad mahu berubah dan cukuplah merosakkan kehidupan remaja dengan masalah dunia sebelum ini.

"Namun begitu, saya percaya hanya dengan mendekatkan diri kepada Tuhan dan sokongan keluarga sahaja boleh membawa diri ini ke jalan benar.

"Jadi, jika ditanya adakah saya mendapat pengalaman teruk ketika berada di penjara? Semestinya saya menjawab tidak, kerana di sini sahaja tempat yang boleh memberi saya pengajaran dan kesedaran supaya menjadi insan terbaik apabila bebas nanti.

"Azam saya tidak mahu lagi dipandang sebagai 'sampah' masyarakat, sebaliknya mahu menjadi orang berjaya biarpun bergelar banduan selain mahu menggembirakan kedua ibu bapa dan keluarga," katanya yang juga anak ketujuh daripada lapan beradik.

Beberapa banduan yang terpilih menyertai Pertandingan Azan dan Iqamat peringkat penjara Pengkalan Chepa, di sini, baru-baru ini. FOTO SYAHERAH MUSTAFA
Beberapa banduan yang terpilih menyertai Pertandingan Azan dan Iqamat peringkat penjara Pengkalan Chepa, di sini, baru-baru ini. FOTO SYAHERAH MUSTAFA

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 27 Julai 2020 @ 4:10 PM