Siti Rohana Idris


"PERKARA utama saya ingin lakukan sebaik dibebaskan adalah menziarah pusara arwah ibu kerana esok genap tujuh tahun dia tiada," kata Khairul (bukan nama sebenar), banduan di Penjara Pengkalan Chepa, Kota Bharu.

Khairul, 29, yang memperoleh pelepasan berlesen selama tujuh hari bermula hari ini sehingga 6 Julai meluahkan hasrat itu yang disifatkan satu saat sangat bermakna kerana tidak berpeluang mengunjungi pusara arwah ibunya di Kampung Berdang, Jeli sejak menjalani hukuman penjara bermula Mei 2014.

Dia yang disabit mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan atas kesalahan merogol dihukum penjara 10 tahun dengan empat sebatan menganggap peluang 'bebas' itu adalah satu tempoh sangat bermakna walaupun hanya sementara dan akan memanfaatkan sebaik mungkin untuk bersama keluarga.

Katanya, perkara pertama terlintas dalam fikiran adalah menziarah kubur arwah ibu pagi esok untuk memohon ampun dan selebihnya ingin memanfaatkan sebaiknya masa bersama keluarga terutama ayah sudah uzur.

"Lebih enam tahun di penjara sangat mengajar saya dan walaupun terkurung, banyak kebaikan diperoleh antaranya sudah lebih 10 kali khatam al-Quran dan berpeluang menjadi imam solat untuk 50 banduan lain.

"Saya dijangka dibebaskan pada Disember ini dan hukuman dijalani sangat memeritkan dan masih terasa libasan ketika disebat yang sudah pasti kesakitannya tidak akan sekali-kali dilupakan.

"Kesakitan dan keperitan hukuman dijalani itu membuatkan saya terus melakukan solat taubat beberapa kali dan berjanji pada diri sendiri untuk tidak akan mengulangi lagi kesilapan itu," katanya.

Katanya, sebaik dibebaskan dia berhasrat membuka kedai jahit kerana memperoleh kemahiran itu sepanjang berada di penjara dan terbabit dalam pembuatan peralatan perlindungan diri (PPE) untuk kegunaan ketika pandemik Covid-19.

Sementara itu, Pengarah Penjara Pengkalan Chepa, Penolong Kanan Komisioner Wan Sani Ab Latiff berkata, untuk tahun ini seramai tujuh banduan terpilih mendapatkan pelepasan berlesen, namun disebabkan tarikh pelepasannya dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB), enam daripadanya dibatalkan.

"Peluang ini diberikan kepada banduan yang menjalani hukuman tidak melebihi empat tahun dan tidak kurang daripada setahun serta menepati kriteria ditetapkan termasuk kelakuan baik sepanjang menjalani hukuman.

"Pelepasan berlesen ini diberikan untuk banduan merancang masa depan mereka, merapatkan hubungan dengan keluarga dan membina keyakinan diri untuk memulakan hidup baharu sebaik dibebaskan nanti.

"Segala perkembangan banduan itu akan dipantau pegawai parol sepanjang tempoh pelepasan berlesen ini," katanya.

Pengarah Penjara Pengkalan Chepa, Penolong Kanan Komisioner Wan Sani Ab Latiff (kiri) berbual dengan banduan Penjara Pengkalan Chepa, Khairul (bukan nama sebenar), 29, yang terpilih dalam pelepasan berlesen selama seminggu bermula hari ini hingga 6 Julai sebelum meninggalkan penjara. FOTO SITI ROHANA IDRIS
Pengarah Penjara Pengkalan Chepa, Penolong Kanan Komisioner Wan Sani Ab Latiff (kiri) berbual dengan banduan Penjara Pengkalan Chepa, Khairul (bukan nama sebenar), 29, yang terpilih dalam pelepasan berlesen selama seminggu bermula hari ini hingga 6 Julai sebelum meninggalkan penjara. FOTO SITI ROHANA IDRIS

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 30 Jun 2020 @ 3:09 PM