ANGGOTA Bomba memadamkan kebakaran rumah sewa di Kampung Pengkalan Nangka. FOTO ihsan Bomba
ANGGOTA Bomba memadamkan kebakaran rumah sewa di Kampung Pengkalan Nangka. FOTO ihsan Bomba
Hazira Ahmad Zaidi

RUMAH sewa didiami sembilan sekeluarga musnah dalam kebakaran di Kampung Pengkalan Nangka, Pengkalan Chepa, hari ini.

Dalam kejadian 7.26 malam itu, dua kereta milik keluarga terbabit turut musnah.

Difahamkan ketika kejadian, keluarga ini sedang berbuka puasa sebelum lari menyelamatkan diri sebaik menyedari kebakaran itu.

Komander Operasi, Pegawai Bomba Kanan II (PBKII) dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Pengkalan Chepa, Samsuddin Mat berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 7.26 malam.

Katanya, 17 anggota dari BBP Pengkalan Chepa dan Kota Bharu termasuk pasukan bomba sukarela bergegas ke lokasi kejadian.

“Sebaik tiba kami mendapati sebuah rumah kediaman separuh kekal sudah 90 peratus hangus terbakar termasuk dua kereta iaitu Proton Waja dan Nissan Sentra.

“Bagaimanapun Perodua Viva dapat diselamatkan dan hanya 20 peratus terbakar di bahagian hadapan,”katanya ketika dihubungi di Kota Bharu.

Menurutnya, api berjaya dikawal pada 7.35 malam dan kerja pemadaman tamat pada 8.10 malam.

“Tiada kemalangan jiwa yang berlaku dan setakat ini punca kebakaran serta jumlah kerugian masih dalam siasatan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 2 Jun 2019 @ 12:04 AM