PENUNTUT baharu hadir pada pendaftaran sesi 2019/2020 di Universiti Malaya, tahun lalu. FOTO arkib NSTP
PENUNTUT baharu hadir pada pendaftaran sesi 2019/2020 di Universiti Malaya, tahun lalu. FOTO arkib NSTP
Raja Noraina Raja Rahim


PROSES kemasukan penuntut ke universti awam (UA), tahun ini iaitu bagi sesi 2020/2021 akan diteruskan seperti biasa.

Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) dalam satu kenyataan, hari ini berkata, Permohonan melalui sistem UPUOnline masih dibuka sehingga 17 April ini.

“Penawaran dijangka dibuat pada 3 Jun depan untuk calon lulusan SPM dan calon lulusan STPM serta setaraf pada 18 Ogos,” katanya.

IPTA dijangka menerima kemasukan penuntut baharu tahun ini ke program asasi dan diploma termasuk matrikulasi pada Julai dan Ogos depan manakala Program Sarjana Muda pada Oktober depan.

Sementara itu, kemasukan penuntut ke UA bagi sesi akademik 2021/2022 dijangka bermula Julai 2021 susulan penundaan tarikh peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM).

KPT berkata, lulusan peperiksaan itu bagi program asasi, matrikulasi dan diploma akan memasuki IPTA pada Julai serta Ogos tahun hadapan.

“Lulusan peperiksaan bagi program ijazah pula dijangka memasuki IPTA pada Oktober tahun hadapan,” kata dalam kenyataan itu.

Semalam, Menteri Kanan (Pendidikan) Dr Radzi Jidin memaklumkan tarikh peperiksaan SPM dan Sijil Vokasional Malaysia (SVM) akan ditunda kepada suku pertama tahun depan.

Bagi calon STPM, tarikh peperiksaan Semester Dua diubah kepada Ogos 2020, manakala peperiksaan Semester Tiga akan diadakan dalam suku pertama 2021.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 16 April 2020 @ 12:23 PM