Amir Abd Hamid dan Suraya Roslan


ORANG ramai yang mahu menyumbangkan kelengkapan perlindungan diri (PPE) perlu menghubungi dengan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), kata Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham.

“Ini kerana, KKM mempunyai garis panduan tertentu berkaitan penggunaan bahan bersesuaian untuk penghasilan PPE,” katanya.

Beliau memberi reaksi itu pada sidang media di Putrajaya, hari ini, ketika ditanya wartawan mengenai apa kriteria ditetapkan KKM sekiranya orang ramai, termasuk tukang jahit yang mahu membantu menghasilkan PPE untuk kegunaan petugas barisan hadapan.

Ia susulan kenyataan beliau semalam mengenai KKM mengalu-alukan derma PPE daripada pihak badan bukan kerajaan (NGO), manakala di media sosial dihujani persoalan orang ramai yang mahu membantu menghasilkan secara sendiri (DIY).

Bagaimanapun, beliau tidak menjelaskan mengenai kriteria ditetapkan KKM untuk menyediakan PPE itu pada sidang media itu, sebaliknya meminta orang ramai yang mahu menyumbang berhubung terus dengan kementerian terbabit.



Sementara itu, menjelaskan mengenai kesiapsiagaan terkini PPE bagi kegunaan petugas kesihatan, Dr Noor Hisham menjelaskannya mengikut komponen kelengkapan.

“Baki stok sarung atau pelindung kaki untuk 78 hari, pelindung kepala baki stok 52 hari, alat penutup hidung dan mulut tiga lapis baki stok 47 hari serta alat penutup hidung dan mulut jenis pembedahan N-95 baki stok 37 hari.

“Perisai muka pakai buang baki stok 25 hari, apron pakai buang baki stok 23 hari dan jumpsuit atau Protective Coverall baki stoknya stok 19 hari,” katanya.

Beliau berkata, KKM sudah mengeluarkan garis panduan baharu penggunaan PPE di kalangan petugas kesihatan.

Menurutnya, bukan semua petugas kesihatan memerlukan pemakaian PPE lengkap sepenuhnya.

“Seperti diketahui umum, isu berkaitan kekurangan PPE adalah isu global yang mana hampir semua negara terkesan dengan penularan wabak koronavirus baharu (Covid-19).

“Apa kita perlukan adalah perolehan PPE secara berterusan yang ketika ini sudah meningkat penggunaannya antara tiga hingga 10 kali ganda,” katanya.

Katanya, KKM bekerjasama dengan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) untuk memastikan bekalan mencukupi.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19

    GAMBAR hiasan. FOTO Arkib NSTP
    GAMBAR hiasan. FOTO Arkib NSTP

  • Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 14 April 2020 @ 9:27 PM