PETUGAS pembersihan, Rosul, 32, mengenakan pakaian perlindungan diri (PPE) sebelum melakukan kerja kerja pembersihan dalam wad menempatkan pesakit Covid-19 di HKL. FOTO Mohamad Shahril Badri Saali
PETUGAS pembersihan, Rosul, 32, mengenakan pakaian perlindungan diri (PPE) sebelum melakukan kerja kerja pembersihan dalam wad menempatkan pesakit Covid-19 di HKL. FOTO Mohamad Shahril Badri Saali
BERNAMA

PIHAK yang mempunyai maklumat mengenai kekurangan pakaian perlindungan diri (PPE) di fasiliti Kementerian Kesihatan (KKM) boleh terus mengemukakannya kepada pegawai yang dikenal pasti di peringkat negeri bagi semakan segera dan tindakan mobilisasi mengikut keperluan serta keutamaan.

Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah menerusi kenyataan di laman Facebooknya berkata, di peringkat KKM, isu utama yang perlu segera ditangani adalah berkaitan pengedaran dan mobilisasi stok ke fasiliti yang menghadapi kekurangan PPE, serta pola penggunaan PPE oleh petugas kesihatan.

“Senarai nama, nombor telefon dan emel pegawai bagi setiap negeri adalah dilampirkan (sebagai rujukan mereka yang ingin melaporkan maklumat kekurangan PPE). Malahan, sumbangan PPE oleh pelbagai pihak sememangnya membantu dan jutaan terima kasih diucapkan.

“KKM juga menyeru penggunaan PPE secara cermat dan berhemah oleh semua kakitangan KKM. Perjuangan ini masih panjang. Andalah aset utama negara dalam menghadapi penularan Covid-19 ini dan KKM amatlah prihatin dengan kesejahteraan anda,” katanya.

Beliau berkata, bagi memantau rapat paras stok dan kadar penggunaan bagi setiap jenis PPE di setiap negeri, KKM menggunakan sistem pangkalan data mudah yang dikendalikan oleh pegawai di setiap Jabatan Kesihatan Negeri, hospital dan Pejabat Kesihatan Daerah (termasuk semua Klinik Kesihatan di bawah PKD).

Katanya, pelaporan harian dibuat secara dalam talian.

“Laporan ini dipantau rapat di peringkat Ibu Pejabat KKM dan tindakan mobilisasi stok akan dibuat terus sekiranya didapati terdapat stok yang berkurangan bagi mana-mana fasiliti KKM,” katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 11 April 2020 @ 6:26 PM