Raja Noraina Raja Rahim dan Yusmizal Dolah Aling


Kuala Lumpur: "Kita berperang dengan Covid-19 untuk tempoh agak lama iaitu lebih setahun dan kita tidak nampak lagi pengakhiran atau penghujung peperangan ini.

"Ini adalah cabaran KKM (Kementerian Kesihatan Malaysia), bukan mudah, tapi kita terpaksa berperang, tiada cara lain," kata Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah.

Beliau berkata demikian susulan beberapa petugas kesihatan yang dilaporkan mengalami masalah kesihatan dan kelesuan berikutan beban kerja tinggi dalam usaha mengawal penularan jangkitan Covid-19 di negara.

Bagaimanapun, katanya, KKM sedang menambah baik situasi kerja petugas kesihatan bagi mengurangkan tekanan selain menyediakan perkhidmatan kesihatan mental dan sokongan psikososial.

"Memang betul ramai dalam kalangan petugas barisan hadapan dan pengurusan ada kelesuan mental dan fizikal.

"Kita akan melihat bagaimana kita dapat mengurangkan tekanan dan memberi ruang untuk mereka bergilir dalam bertugas," katanya dalam sidang media harian Covid-19 di Putrajaya hari ini.

Gambar hiasan.
Gambar hiasan.

Mengulas lanjut, Dr Noor Hisham berkata, pihaknya turut melihat langkah sama ada melakukan penggantian tugas di lapangan bagi mengurangkan tekanan dan beban.

Beliau berkata, KKM turut menyediakan talian perkhidmatan kesihatan mental dan sokongan psikososial untuk individu terbabit mendapatkan bantuan serta sokongan.

Menurutnya, perkhidmatan itu dimulakan sejak Januari 2020 dan mereka yang berkenaan boleh menghubungi talian itu.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 21 January 2021 @ 8:37 PM