AZMAN (kiri) meninjau harga barang di pusat penjaja Kubah Ria, Kuching. FOTO NORSYAZWANI
AZMAN (kiri) meninjau harga barang di pusat penjaja Kubah Ria, Kuching. FOTO NORSYAZWANI
Norsyazwani Nasri


PERSATUAN Pengguna Bumiputera Sarawak (PPBS) mencadangkan kerajaan memberi permit khas kepada pengedar dan pemborong hasil pertanian untuk bergerak membawa bekalan dan stok di Sarawak.

Pengerusinya, Datuk Seri Azman Samaon berkata, pihak Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) di setiap bahagian di Sarawak boleh menjadi pusat pengumpulan hasil pertanian sebelum di bawa ke Kuching atau bandar lain.

“Jika bekalan mencukupi, maka kenaikan harga dapat dibendung pada masa ini.

“Pemantauan harga barangan harian yang dilakukan oleh PPBS di beberapa pusat penjaja Kubah Ria di Kuching hari ini mendapati harga beberapa barangan melebihi harga siling yang ditetapkan,” katanya selepas meninjau Pasar Satok di Kuching, hari ini.

Menjelas lanjut, beliau berkata, cili merah tempatan dijual antara RM20 hingga RM24 sekilogram, bawang merah (kecil) India (RM8 - RM10 sekilogram), sawi bunga (RM4 - RM6 sekilogram), ayam ekor (RM8.50 - RM9.50 sekilogram) dan ikan kembung sejuk beku (RM10- RM15 sekilogram).

“Menurut peniaga, mereka menerima bekalan dengan harga yang berbeza-beza setiap hari bergantung kepada stok bekalan yang berjaya dibawa masuk ke Kuching.

“Difahamkan stok bekalan sayur-sayuran dan hasil pertanian lain tidak dapat dibawa keluar dari kebun atau ladang kerana faktor Perintah Kawalan Pergerakan (PKP),” katanya.

Beliau berkata, sekatan pergerakan 10 kilometer dari kediaman menyebabkan pengedaran bekalan sayur dari luar Kuching amat terhad.

“Bekalan ikan segar juga amat terhad dan tidak banyak pilihan. Pada masa ini kebanyakan ikan yang dijual adalah ikan sejuk beku.

“Di luar Kuching, terutama di Sadong Jaya, Sebuyau, Kabong dan Mukah adalah musim ikan terubok, namun tidak dapat dihantar ke Kuching,” katanya.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 13 April 2020 @ 6:00 PM