PENIAGA ikan pasar besar Dungun mendakwa ikan luar atau ikan sejuk beku mendapat sambutan pembeli. FOTO Rosli Ilham
PENIAGA ikan pasar besar Dungun mendakwa ikan luar atau ikan sejuk beku mendapat sambutan pembeli. FOTO Rosli Ilham
Rosli Ilham


Dungun: Bekalan ikan di Terengganu mencukupi bagi menampung keperluan pengguna sepanjang musim tengkujuh ini.

Pengarah Persatuan Nelayan Kebangsaan (Nekmat) Terengganu, Mat Yassin Mohammed berkata, bekalan ikan sejuk beku atau Q Fish mencukupi apabila disimpan 103 persatuan itu di seluruh negara.

"Nekmat Malaysia memperuntukkan kira-kira 100 tan stok ikan sejuk beku kepada Terengganu dan sekiranya bekalan ikan di negeri ini terputus, ia akan segera dihantar dari negeri ini.

"Selain ikan sejuk beku, peraih ikan turut mendapatkan bekalan ikan segar dari pantai timur bagi menampung kekurangan stok ikan sedia ada dan keadaan itu dilihat turut mempengaruhi harga ikan semasa," katanya.

Beliau berkata, sebelum ini, nelayan laut dalam mampu membekalkan kira-kira 20 hingga 30 tan ikan dan apabila tiba musim tengkujuh, hanya 10 tan sahaja dibekalkan.

Katanya, walaupun berlaku penyusutan bekalan ikan segar berikutan ramai nelayan tidak dapat ke laut, bekalan masih mencukupi dan harga ikan melonjak naik sehingga 20 peratus.

Sementara itu, peniaga ikan, Fariza Mamat, 40, berkata, pada musim tengkujuh, ramai peniaga ikan terpaksa mengambil bekalan dari negeri luar atau menjual ikan sejuk beku.

"Waktu begini (tengkujuh) kenaikan jualan harga ikan sekitar RM2 hingga RM4 sekilogram yang diambil kira dengan kos pengangkutan.

"Bagi kami harga ikan dijual tidaklah tinggi dan tidak membebankan pembeli. Selain ikan sejuk beku, ikan ternak seperti talapia, siakap dan sebagainya turut mampu mengimbangi masalah kekurangan stok ikan segar pada musim tengkujuh," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 6 Disember 2021 @ 5:03 PM