Putrajaya: Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani memberi jaminan bekalan ikan dan sayur mencukupi terutama bagi menampung keperluan penduduk di negeri terjejas banjir.

Menterinya Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, bekalan ikan mencukupi memandangkan ia diperoleh daripada stok sejuk beku yang dijangka bertahan sehingga tiga bulan.

Beliau berkata, mulai semalam, pihaknya sudah mula mengimport ikan dari luar negara untuk disejukbekukan bagi tujuan simpanan dan keperluan di negeri terbabit banjir.

“Ketika musim banjir, mangsa mungkin tidak kisah mengenai keperluan mendapatkan bekalan ikan kerana sibuk menyelamatkan diri, namun kini mereka sudah mula mencari barangan basah itu.

“Justeru, kita sudah bersedia dengan bekalan mencukupi. Malah, Persatuan Nelayan Kebangsaan (NEKMAT) juga mula membeli stok ikan swasta supaya keperluan boleh bertahan sehingga tiga bulan,” katanya pada sidang media di sini semalam.

Ismail Sabri berkata, bekalan sayur turut dikeluarkan dari stok simpanan bagi menampung keperluan berkenaan, malah pihaknya mula menghantar bekalan sayur ke negeri berkenaan.

Beliau berkata, pihaknya menjangkakan 200 tan sayur-sayuran dihantar ke negeri terjejas banjir dalam tempoh seminggu.

Menurutnya, pihaknya juga mengadakan pasar tani khas di beberapa lokasi terpilih dengan menawarkan harga ikan dan sayur-sayuran pada harga lebih murah berbanding harga siling.

“Sebagai contoh, harga kobis ditawarkan pada harga RM1.10 sekilogram berbanding RM2.11 sekilogram sebelum ini selain RM7 sekilogram bagi cili merah berbanding RM13 sekilogram sebelum ini.

“Ini antara bantuan yang kami boleh berikan kepada penduduk terjejas banjir,” katanya.

Katanya, bermula 18 Disember lalu, pihaknya menggerakkan bantuan kepada mangsa banjir terutama di Kelantan, Terengganu dan Pahang, selain membelanjakan RM1.8 juta bagi menyediakan pelbagai keperluan.

Ismail Sabri berkata, setakat semalam, kementerian sudah menyalurkan bantuan di lapan negeri membabitkan 51 kawasan Parlimen yang diselenggarakan dengan kerjasama Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan pelbagai agensi lain.

“Antara bekalan diberikan membabitkan tiga segmen termasuk makanan basah, makanan kering dan bukan makanan. Selain itu, kami turut menyediakan bekalan makanan untuk binatang ternakan terjejas banjir,” katanya.

Katanya, buat masa ini, pihaknya belum mentafsirkan anggaran kerugian dialami petani, penternak dan nelayan di seluruh negara kerana beberapa negeri masih dinaiki air.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 1 January 2015 @ 7:43 AM