ADHAM ketika sidang media mengenai kesiapsiagaan Kementerian Kesihatan dalam usaha memutuskan rantaian  penularan COVID-19 di Kompleks Imigresen, Kastam dan Kuarantin (CIQ), Bangunan Sultan Iskandar. FOTO BERNAMA
ADHAM ketika sidang media mengenai kesiapsiagaan Kementerian Kesihatan dalam usaha memutuskan rantaian penularan COVID-19 di Kompleks Imigresen, Kastam dan Kuarantin (CIQ), Bangunan Sultan Iskandar. FOTO BERNAMA
Mohamed Farid Noh


KEMENTERIAN Kesihatan Malaysia (KKM) akan menyediakan sebuah lagi makmal baharu khusus bagi melakukan ujian pengesanan wabak Covid-19 di negeri ini.

Menterinya, Datuk Seri Dr Adham Baba berkata, ia sebagai langkah siap siaga menghadapi sebarang kemungkinan berhubung penularan wabak Covid-19 di selatan tanah air.

“Makmal baharu yang sedang dalam proses untuk dilaksanakan ini adalah bagi menambah fasiliti makmal sedia ada di Johor untuk melakukan ujian pengesanan kes wabak Covid-19.

“Setakat ini, Johor mempunyai dua makmal Covid-19 iaitu makmal Hospital Sultanah Aminah (HSA) dan Makmal Kesihatan Awam Johor Bahru.

“KKM sentiasa proaktif dan bersedia malah akan menyediakan makmal baharu ‘fast track’ selain bekerjasama dengan makmal swasta untuk kita membuat saringan dan juga ujian supaya dapat membuat keputusan yang cepat dan tepat,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas melakukan lawatan kerja ke Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) Bangunan Sultan Iskandar (BSI) , di sini, hari ini.

Ditanya mengenai dakwaan sesetengah pihak yang mendakwa proses mendapatkan keputusan ujian pengesanan Covid-19 memakan masa lama kerana kekurangan fasiliti makmal, Dr Adham menafikan perkara itu.

“Itu bukannya suatu isu yang dihadapi KKM. Makmal sedia ada mampu mengeluarkan keputusan pengesanan Covid-19 pada masa yang munasabah,” katanya.

Sementara itu, Dr Adham berkata, trend aliran kepulangan rakyat Malaysia yang bekerja di Singapura dijangka menunjukkan penurunan berikutan langkah republik itu melaksanakan langkah lebih ketat dalam mengekang pergerakan di negara seberang Tambak Johor itu.

Katanya, pada fasa pertama Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan negara ini, seramai 1,400 kemasukan direkodkan di pintu masuk BSI manakala sebanyak 700 kemasukan harian dicatat di pintu masuk Kompleks Sultan Abu Bakar (KSAB) di Tanjung Kupang, Gelang Patah.

“Namun jumlah kemasukan meningkat pada fasa kedua PKP dengan kemasukan harian merekodkan seramai 2,000 di BSI dan 1,000 kemasukan di KSAB.

“Kita jangkakan fasa ketiga PKP nanti akan merekodkan penurunan kemasukan rakyat Malaysia yang pulang dari Singapura susulan perintah kawalan pergerakan lebih ketat dilaksanakan republik itu sejak Selasa lalu.

“Bagaimanapun, KKM sudah siap-sedia dengan rapi di semua pintu masuk negara sama ada laut, udara dan darat.

“Rakyat Malaysia yang pulang dari Singapura perlu menunjukkan keputusan ujian saringan Covid-19 yang negatif. Jika tiada, KKM akan ambil sampel mereka dan mengenakan perintah kuarantin 14 hari di stesen kuarantin yang diwartakan kerajaan,” katanya.

Beliau berkata, rakyat Malaysia yang mempunyai keputusan saringan Covid-19 negatif juga perlu menjalani kuarantin 14 hari di kediaman masing-masing dan akan diperiksa secara mengejut pihak berkuasa,” katanya.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 11 April 2020 @ 7:00 PM