GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
Hafidzul Hilmi Mohd Noor


Kuala Lumpur: Pengembara yang tiba dari Sabah hanya perlu menjalani ujian pengesanan Covid-19 tiga hari sebelum berlepas ke negeri lain di Malaysia bermula esok.

Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Adham Baba berkata, jika individu ini dikesan positif ujian pengesanan Covid-19 atau bergejala mereka tidak dibenar meneruskan perjalanan keluar dari Sabah.

"Bagi yang positif Covid-19, mereka akan dirujuk ke hospital untuk isolasi, rawatan dan pemantauan manakala bagi individu yang bergejala akan dirujuk untuk menjalani pemeriksaan.

"Seterusnya bagi pengembara yang dibenarkan meneruskan perjalanan keluar dari Sabah, mereka akan melalui saringan demam dan gejala, pemeriksaan laporan ujian swab pengesanan Covid-19 serta diwajibkan penggunaan MySejahtera setibanya di pintu masuk negara di Semenanjung, Sarawak dan Labuan," katanya.

Beliau berkata, jika individu tidak bergejala dan laporan ujian makmal Covid-19 disahkan negatif, pengembara ini tidak lagi perlu menjalani kuarantin wajib selama 14 hari.

"Berdasarkan penilaian risiko yang dijalankan ke atas situasi kejadian kes Covid-19 di Malaysia, didapati jumlah kes menunjukkan trend penurunan bagi Sabah berbanding yang dilaporkan di Semenanjung Malaysia terutama di sekitar Lembah Klang.

"Mengambil kira situasi semasa ini dan selepas satu bulan setengah pelaksanaannya, semakan semula ke atas prosedur saringan Covid-19 serta prosedur kuarantin wajib bagi mereka yang tiba dari Sabah di pintu masuk negara dijalankan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM)," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 24 November 2020 @ 5:01 PM