KAMARUL Rizal (kiri) menunjukkan barang yang dirampas daripada suspek. FOTO Abnor Hamizam Abd Manap
KAMARUL Rizal (kiri) menunjukkan barang yang dirampas daripada suspek. FOTO Abnor Hamizam Abd Manap
Abnor Hamizam Abd Manap


POLIS berjaya menyelesaikan kes samun dalam tempoh tidak sampai 24 jam dengan menahan dua lelaki yang melakukan kegiatan itu di sebuah rumah di Simpang Pertang, Jelebu.

Ketua Polis Daerah Jelebu, Deputi Superintendan Kamarul Rizal Jenal berkata, suspek berusia 29 dan 30 tahun itu ditahan di Kuala Klawang pada 2.05 petang semalam.

“Suspek sebelum itu memecah masuk sebuah rumah di Simpang Pertang pada 4.30 pagi.

“Kejadian disedari mangsa berusia 48 tahun apabila mendengar bunyi pintu rumah dibuka namun beranggapan ibunya mahu keluar rumah.

“Bagaimanapun mangsa keluar dari bilik tidurnya sebelum terkejut melihat suspek di ruang tamu. Suspek memberi amaran sambil menunjukkan sebilah parang ke arah mangsa,” katanya pada sidang media hari ini.

Kamarul Rizal berkata, mangsa dan ibunya kemudiannya dipaksa duduk dalam tunduk dan meletakkan tangan di atas kepala.

Katanya, mangsa menyerahkan wang tunai RM2,500 dan dua telefon bimbit sebelum suspek meninggalkan mangsa dengan sebuah kereta.

“Bertindak dari laporan dibuat di Balai Polis Simpang Pertang, polis menjalankan Ops Cantas dan berjaya menangkap dua lelaki di Kuala Klawang.

“Suspek masing-masing mempunyai 17 dan 12 rekod dadah dan jenayah sertai dikehendaki polis Temerloh, Pahang dan Bandar Hilir, Melaka.

“Polis turut merampas sebuah telefon bimbit, sebotol arak, satu kotak yang mengandungi mesin gerudi dan 11 tin air minuman.

“Suspek direman lima hari bermula hari ini hingga Jumaat dan siasatan dijalankan mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 6 April 2020 @ 12:27 PM