Abdullah Atan dibantu nelayan lain menanggalkan ketam yang tersangkut pada jaringnya di Balai Nelayan Pengkalan Balak, dekat Alor Gajah. FOTO HASSAN OMAR
Abdullah Atan dibantu nelayan lain menanggalkan ketam yang tersangkut pada jaringnya di Balai Nelayan Pengkalan Balak, dekat Alor Gajah. FOTO HASSAN OMAR
Hassan Omar


PERALIHAN monsun timur laut kepada monsun barat daya sejak lima hari lalu membawa rezeki lebih kepada nelayan apabila ketam ‘naik menggila’.

Sebelum peralihan monsun, nelayan hanya memperoleh antara dua hingga empat kilogram (kg) ketam setiap kali turun ke laut namun kini mereka berjaya membawa pulang sehingga 40 kg ketam renjong atau ketam bunga.

Abdullah Atan, 69, berkata, dia agak terkejut apabila mendapati jaring yang direntangkan berhampiran kapal berlabuh empat batu nautika dari pantai Pengkalan Balak, dekat Alor Gajah dipenuhi ketam.

“Saya pasang jaring ketam itu pada 5 petang semalam dan menariknya 8 pagi tadi. Saya terkejut apabila mendapati ia dipenuhi dengan ketam renjong yang saya jual RM20 sekilogram.

“Alhamdulillah, inilah hasil tangkapan ketam paling tinggi sepanjang tahun ini. Ini disebabkan perubahan arah tiupan angin,” katanya ketika ditemui di Balai Nelayan Pengkalan Balak, hari ini.

Menurutnya, disebabkan terlalu banyak ketam tersangkut pada jaring, beliau dan seorang awak-awak terpaksa menarik naik jaring ke dalam perahu tanpa menanggalkan ketam bagi mengelakkan mereka hanyut dibawa arus pasang ketika itu.

“Alhamdulillah, angin barat (monsun barat daya) selalunya membawa ikan, udang dan ketam ke kawasan ini dan menambahkan rezeki kepada semua nelayan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 31 Mac 2020 @ 4:50 PM