FARDAUS  cekap membaiki perahu gentian kaca di pantai Kampung Pengkalan Balak, Masjid Tanah.
FARDAUS cekap membaiki perahu gentian kaca di pantai Kampung Pengkalan Balak, Masjid Tanah.

Alor Gajah: Seorang nelayan muda tidak menyangka usaha membaiki sendiri perahu gentian kacanya membawa rezeki apabila dia menjadi pilihan kebanyakan nelayan untuk membaiki perahu mereka sejak dua tahun lalu.

Apa tidaknya, setiap kali nelayan di sekitar Kampung Pengkalan Balak, Teluk Gong dan Kuala Sungai Baru, Masjid Tanah di sini, mengalami kerosakan perahu, Fardaus Md Razak, 33, atau lebih dikenali dengan panggilan ‘Daus’ dalam kalangan nelayan akan dicari untuk membantu membaikinya.

Walaupun sibuk dengan tugas harian mencari rezeki di laut, Fardaus tidak pernah mengecewakan rakan nelayannya untuk membaiki kerosakan dialami mereka.

“Saya belajar membaiki perahu ketika mengikuti kursus anjuran Persatuan Nelayan Kawasan (PNK) Melaka Barat di Kuala Sungai Baru, dua tahun lalu dan pada mulanya saya hanya membaiki perahu sendiri.

“Kebanyakan rakan yang sama-sama ke laut memuji kerja saya cukup kemas dan mula meminta saya membaiki perahu mereka, sampailah sekarang sudah lebih dua tahun saya buat kerja ini,” katanya ditemui ketika membaiki perahu nelayan di pantai Kampung Pengkalan Balak, kelmarin.

Bagi menghasilkan lunas perahu iaitu bahagian paling bawah, Fardaus menggunakan gentian kaca yang dicampur pasir halus pantai berbanding kebanyakan tukang perahu lain menggunakan campuran gentian kaca dengan habuk papan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 20 Jun 2018 @ 5:21 AM