BELANGKAS dikeluarkan daripada peti sejuk beku.
BELANGKAS dikeluarkan daripada peti sejuk beku.
Hassan Omar


Alor Gajah: Berbeza dengan nelayan lain yang menganggap belangkas sebagai ‘pengacau’, namun Abdul Samad Abdul Malek, 55, pula sibuk memburu hidupan itu untuk dieksport ke Thailand, sekali gus mampu memperoleh pendapatan lumayan.

Difahamkan, hidupan laut itu dikumpul peniaga di Selatan Thailand sebelum dieksport ke Jepun untuk dijadikan hidangan istimewa masyarakat negara Matahari Terbit berkenaan.

Abdul Samad berkata, rakan nelayan lain melabelkan belangkas sebagai hidupan pengacau kerana kerap tersangkut pada jaring hingga mengganggu pekerjaan mereka menangkap ikan atau ketam.

Menurutnya, dia mula mengumpul belangkas tersangkut pada jaring selepas mengetahui hasil laut itu diminati masyarakat Jepun sejak dua tahun lalu.

“Ketika melancong ke selatan Thailand dua tahun lalu, saya berjumpa seorang peniaga belangkas yang mengeksport hidupan laut itu ke Jepun dan bermula dari saat itu saya mula membekalkan hidupan itu kepadanya.

“Bagi saya daripada dikutip dan dibuang ke laut, lebih baik belangkas tersangkut pada jaring dikumpul kerana penatnya berbaloi dengan pulangan lumayan,” katanya ketika ditemui di Balai Nelayan Kampung Pengkalan Balak, Masjid Tanah, di sini, semalam.

Belangkas hidup di pinggir pantai dikenali dengan nama saintifik ‘tachypleus gigas’ manakala yang hidup di kawasan paya ialah ‘carcinoscorpius rotundicauda.’

Saiz hidupan laut dianggap kebanyakan nelayan sebagai tidak berharga itu boleh mencapai 52 sentimeter (sm) dan anggota badan terputus boleh tumbuh semula.

Menurutnya, belangkas disimpan di dalam peti sejuk beku sebelum dibungkus dan dihantar kepada ejen di pekan Alor Gajah untuk menghantar hasil laut itu ke selatan Thailand.

“Saya perlu menyediakan 400 ekor belangkas dalam tempoh 15 hari dan hasilnya agak lumayan,” katanya yang enggan menyatakan harga jualan belangkas.

Katanya, dia memasang jaring ketam ketika arus dasar laut berubah menjadi kuat berdasarkan kalendar Islam.

“Semasa arus dasar laut perlahan, saya menangkap ikan dan udang, tetapi apabila berubah menjadi deras ketika itu masa sesuai memerangkap belangkas,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 15 April 2017 @ 6:21 AM