Amran Yusof (kiri) dan Mohd Khairul Azhar menunjukkan hasil tangkapan mereka. FOTO HASSAN OMAR
Amran Yusof (kiri) dan Mohd Khairul Azhar menunjukkan hasil tangkapan mereka. FOTO HASSAN OMAR
Hassan Omar


Alor Gajah: Musim air pasang besar membawa rahmat untuk nelayan pinggir pantai yang bergantung rezeki pada tangkapan belangkas kerana jumlah haiwan marin itu meningkat berbanding sebelum ini.

Amran Yusof, 53, dan Mohd Khairul Azhar, 26, berkata belangkas yang memenuhi pukat yang dipasang di perairan berhampiran pantai Pengkalan Balak, Sungai Tuang dan Telok Gong, Masjid Tanah dekat sini, membolehkan mereka mengukir senyuman.

Ketika menarik pukat jam 8 pagi tadi, mereka tersenyum lebar apabila mendapati pukat berkenaan dipenuhi belangkas.

"Alhamdulillah, kali ini kami dapat antara 20 hingga 25 ekor belangkas hasil daripada pukat yang kami pasang sejak pagi semalam dan dibiarkan semalaman sebelum ditarik pagi ini.

"Jumlah itu tinggi berbanding hanya antara 10 hingga 13 ekor sebelum ini dan kami bersyukur dengan pemberian-Nya," katanya ketika ditemui di Pangkalan Nelayan Kampung Sungai Kertah, Pengkalan Balak hari ini.

Dia berkata, air pasang besar menyebabkan lebih banyak belangkas menghampiri pinggir pantai kerana paras air yang tinggi hingga gigi pantai membolehkan haiwan itu berenang dan bermain di pasir pantai yang lebih jauh ke arah daratan.

Mohd Khairul berkata, jumlah tangkapan hari ini jarang diperoleh berbanding ketika air pasang biasa sebelum ini.

"Kami jual seekor belangkas antara RM12 hingga RM13 kepada peraih yang membawa belangkas ke selatan Thailand kerana kawasan itu adalah pusat perniagaan belangkas yang dieksport ke Jepun dan Korea.

"Alhamdulillah, rezeki kami bertambah hari ini dan kami berdoa supaya jumlah tangkapan lebih tinggi esok kerana air pasang besar dijangka berlarutan antara dua atau tiga hari lagi," katanya.

Bagaimanapun, dia menjelaskan, hanya belangkas yang mempunyai telur dibeli peraih kerana telur berkenaan amat digemari masyarakat Jepun dan Korea.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 19 Oktober 2020 @ 3:34 PM