PENUTUP mulut dan hidung sangat sukar diperolehi.
PENUTUP mulut dan hidung sangat sukar diperolehi.
Rosyahaida Abdullah


SEBANYAK 31 kes dengan nilai kompaun berjumlah RM127,400 direkodkan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) membabitkan penjualan penutup mulut dan hidung sejak penularan Covid-19 di negara ini sejak Januari lalu.

Menterinya Datuk Alexander Nanta Linggi berkata, daripada jumlah itu, sebanyak 26 kes membabitkan kesalahan meletakkan harga melebihi paras maksimum 80 sen seunit bagi harga runcit yang kemudiannya digazet kepada RM2 seunit, empat hari lalu.

“Semua kes ini membabitkan topeng mulut dan hidung jenis ‘3 ply surgery and medical’ yang dijual secara ‘offline’ di seluruh negara.

“Harga maksimum baru iaitu RM2 seunit untuk runcit sudah digazetkan pada 19 Mac lalu dan berkuatkuasa sehari selepas itu, jadi kita berharap aduan dapat disalurkan jika ada peniaga menjual melebihi harga maksimum terkini supaya tindakan dapat segera diambil,” katanya ketika melakukan tinjauan di pasar raya AEON, Taman Maluri, Cheras, Kuala Lumpur, hari ini.

Selain penjualan melebihi harga maksimum, kes lain turut direkodkan membabitkan kesalahan tiada tanda harga (tiga kes) serta kesalahan mengenakan apa-apa syarat jualan (dua kes).

“Saya merayu kepada peniaga, jangan ambil kesempatan untuk naikkan harga bukan saja topeng (mulut dan hidung) malah apa saja barangan di sebalik kemelut wabak yang melanda negara ketika ini.

“Ini adalah soal nyawa. Pengguna juga ikutlah saranan Perdana Menteri untuk duduk di rumah, itu yang terbaik,” katanya.

Terdahulu, Alexander melakukan lawatan khas ke pasar raya AEON, Taman Maluri bagi meninjau stok barangan keperluan khususnya makanan susulan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sejak Rabu lalu.

Beliau menzahirkan rasa puas hati susulan stok makanan asas di pasar raya terbabit disifatkan banyak dan mencukupi bagi memenuhi keperluan semasa.

“Saya tidak nampak apa yang dikatakan pembelian panik pada hari ini (semalam) dan saya juga berpuas hati dengan stok barangan keperluan seperti beras, ayam, tisu, lampin bayi dan sebagainya yang banyak malah harga juga semuanya terkawal,” katanya.

Beliau diiringi Ketua Setiausahanya Datuk Seri Hasnol Zam Zam Ahmad, Ketua Pegawai Penguatkuasa Negeri Azeem Nazuri dan Pengarah Urusan AEON Co (M) Bhd Shafie Shamsuddin.

Sementara itu, Shafie berkata, pihaknya memberi jaminan stok di semua 34 pasar raya AEON di seluruh negara sentiasa mencukupi malah ditambah setiap hari sepanjang tempoh PKP.

“Dengan pengalaman AEON mengendalikan situasi ini di Wuhan, China sebelum ini, kami akan pastikan stok sentiasa ada walaupun jika PKP dilanjutkan,” katanya.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 22 Mac 2020 @ 5:22 PM