ORANG ramai memakai penutup mulut dan hidung  susulan penularan Covid-19. FOTO BERNAMA
ORANG ramai memakai penutup mulut dan hidung susulan penularan Covid-19. FOTO BERNAMA
Samadi Ahmad

KERAJAAN menetapkan harga siling bagi penutup mulut dan hidung dinaikkan kepada RM2 berbanding 80 sen sebelum ini susulan kekurangan bahan memproses serta berlaku kenaikan harga pada bahan asas itu.

Perkara itu dimaklumkan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Datuk Alexander Nanta Linggi semalam.

Menurutnya, pihak kementerian turut membenarkan import penutup mulut dan hidung bagi memastikan bekalan di negara ini mencukupi berkuat kuasa kelmarin.

“Pada masa sama aktiviti mengeksport penutup mulut dan hidung juga dihentikan bagi mengelak bahan pembuatan berkurangan.

“Dengan langkah ini juga orang ramai boleh mendapatkan penutup mulut dan hidung dalam masa terdekat,” katanya selepas menghadiri Perbincangan Bersama Sektor Peruncitan Berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan di Putrajaya, semalam.

Turut hadir, Menteri Pertanian dan Industri Makanan, Datuk Seri Dr Ronald Kiandee, Ketua Setiausaha Kementerian Pertanian dan Industri Makanan, Datuk Zainal Azman Abu Seman dan Ketua Setiausaha KPDNHEP, Datuk Seri Hasnol Zam Zam Ahmad.

Seramai 12 pemain industri sektor peruncitan keperluan harian hadir dalam perbincangan yang diadakan selama kira-kira dua jam.

Pada perbincangan itu pemain industri disaran meningkatkan amalan penjagaan kesihatan di pasar raya dan kemudahan troli pengguna bagi mengelak wabak Covid-19.

Alexander berkata, KPDNHEP memberi jaminan bekalan makanan mencukupi susulan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bagi menangani wabak Covid-19.

ALEXANDER Nanta  (dua dari  kanan) bersama  Dr Ronald  (tengah) beramah mesra dengan  pemain industri, semalam. FOTO BERNAMA
ALEXANDER Nanta (dua dari kanan) bersama Dr Ronald (tengah) beramah mesra dengan pemain industri, semalam. FOTO BERNAMA

Beliau turut mengingatkan pengusaha jualan sentiasa memastikan bekalan mencukupi di pasaran dan memaklumkan kepada kementerian sekiranya tidak mencukupi.

“KPDNHEP akan sentiasa mengadakanpemantauan melalui 2,500 penguatkuasa agar bekalan sentiasa mencukupi dan tidak berlaku aktiviti menaikan harga sesuka hati dari kalangan penjual sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan,” katanya.

Sementara itu, Dr Ronald berkata, bekalan makanan bagi kumpulan makanan utama termasuk beras, daging, ikan,ayam, sayur-sayuran dan buah-buahan berada pada tahap stabil dan mencukupi.

Beliau turut menafikan peniaga menaikan harga telur yang dijual RM1 sebiji, sebaliknya masih pada harga lama iaitu 29 hingga 31 sen sebiji.

Katanya,pihaknya akan bekerjasama dengan KPDNHEP bagi memantau harga barangan di pasaran agar peniaga tidak mengambil kesempatan menaikan harga sepanjang PKP dilaksanakan.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan

  • Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 21 Mac 2020 @ 7:20 AM