RAE Morn Verak, (tengah) menunjukkan topeng muka yang dirampas di Taman Kempas, an Kempas, Sungai Petani pada 30 Mac lalu. FOTO Ihsan KPDNHEP
RAE Morn Verak, (tengah) menunjukkan topeng muka yang dirampas di Taman Kempas, an Kempas, Sungai Petani pada 30 Mac lalu. FOTO Ihsan KPDNHEP
Nor Farhani Che Ad

LELAKI berusia 52 tahun ditahan manakala 3,450 unit penutup mulut dan hidung dianggarkan bernilai RM6,900 dirampas di Taman Kempas, Sungai Petani, 30 Mac lalu kerana dijual pada harga melebihi maksimum.

Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Kedah, Rae Morn Verak berkata, ia dipercayai dijual pada harga RM2.50 seunit melebihi harga maksimum yang ditetapkan iaitu RM2 seunit harga semasa ketika tindakan kes diambil.

“Satu serbuan dilakukan oleh sepasukan penguat kuasa KPDNHEP cawangan Sungai Petani hasil maklumat orang awam berkaitan penjualan penutup mulut dan hidung melebihi harga kawalan.

“Ia dipercayai dijual menerusi Facebook (FB) dan pesanan dilakukan melalui aplikasi WhatsApp,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, berikutan itu, seorang lelaki tahun ditahan bagi membantu siasatan, dan sekiranya didapati melakukan kesalahan, suspek akan didakwa mengikut Seksyen 11 Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan 2011 (AKHAP 2011).

“Jika sabit kesalahan boleh didenda sehingga RM500,000 atau jika orang itu bukan suatu pertubuhan perbadanan, di denda tidak melebihi RM100,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi 3 tahun atau kedua-duanya,” katanya.

Dalam perkembangan sama, beliau berkata, pihaknya sentiasa memantau harga penutup mulut dan hidung di pasaran sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan.

Beliau turut mengingatkan golongan peniaga dalam talian supaya lebih bertanggungjawab dan tidak menaikkan harga sewenang-wenangnya.

“Peniaga harus jujur dan telus dengan menyatakan maklumat lengkap berkenaan barangan seperti perihal barang, harga penuh barang dan sebagainya.

“Kita tidak teragak-agak mengambil tindakan tegas kepada peniaga yang ingkar dengan undang-undang yang ditetapkan,” katanya.

Beliau berkata, pengguna disarankan menyalurkan maklumat kepada KPDNHEP dengan melaporkan sebarang kegiatan yang mencurigakan melalui hotline 1-800-886-800 atau 04-7001745 di Enforcement Command Centre (ECC) atau di http://e-aduan.kpdnhep.gov.my.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 1 April 2020 @ 3:20 PM