ANGGOTA bomba menjalankan operasi pemadaman kebakaran di Hutan Simpan Kuala Langat Selatan sejak Jumaat lalu. FOTO Ihsan JBPM
ANGGOTA bomba menjalankan operasi pemadaman kebakaran di Hutan Simpan Kuala Langat Selatan sejak Jumaat lalu. FOTO Ihsan JBPM
BERNAMA

KAWASAN hutan terbabit dalam kebakaran di Hutan Simpan Kekal Kuala Langat Selatan kini hanya berbaki 2.8 hektar dan api dijangka dipadam sepenuhnya tiga hari lagi.

Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Selangor, Hafisham Mohd Noor berkata, setakat 6 petang semalam, sebanyak 49.2 hektar daripada 52 hektar kawasan hutan terbakar berjaya dipadamkan oleh empat pasukan bomba bertugas.

“Hujan lebat selama kira-kira 20 minit pada petang semalam turut membantu kerja pemadaman api di beberapa kawasan kebakaran.

“Seramai 136 anggota terdiri daripada bomba, kakitangan Majlis Perbandaran Kuala Langat dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) bertugas dalam operasi pemadaman kebakaran hutan ini sejak ia terbakar kira-kira tiga minggu lalu,” katanya ketika dihubungi Bernama di Shah Alam, hari ini.

Hafisham berkata, operasi pengeboman air menggunakan dua pesawat Bombardier CL- 415 milik Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) ditangguhkan sementara waktu berikutan api dapat dikawal.

Beliau berkata, pihaknya akan terus melakukan operasi pemadaman api di kawasan hutan berkenaan menggunakan kaedah serangan terus ‘direct attack’ dan membina ‘fire break’ dengan menggunakan 10 jentera disediakan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 8 Mac 2020 @ 4:32 PM