Bomba menggunakan jentera Amphibians All Terrain Vehicle (AATV) untuk membawa peralatan bagi operasi pemadaman kebakaran hutan berhampiran Kampung Tanjung Adang dan Kampung Pekajang. FOTO Hairul Anuar Rahim
Bomba menggunakan jentera Amphibians All Terrain Vehicle (AATV) untuk membawa peralatan bagi operasi pemadaman kebakaran hutan berhampiran Kampung Tanjung Adang dan Kampung Pekajang. FOTO Hairul Anuar Rahim
Mohd Sabran Md Sani


KAEDAH bom air atau ‘water bombing’ hanya akan digunakan untuk memadamkan kebakaran hutan seluas 16 hektar di Kampung Pekajang, Gelang Patah sejak Rabu lalu, selepas tinjauan udara kedua dilaksanakan.

Ketua Zon 1, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Johor, Mohd Faizul Selamat berkata, ia mengambil kira risiko lokasi kebakaran yang berhampiran penempatan penduduk dan industri.

“Buat masa sekarang, kita berusaha mendapatkan bantuan pasukan udara Jabatan Bomba dan Penyelamat Subang, Selangor, bagi membuat tinjauan udara di kawasan kebakaran.

“Justeru kaedah bom air hanya akan digunakan selepas tinjauan udara kedua dilakukan untuk mengenalpasti kesesuaian kaedah itu,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas melakukan operasi pemadaman api di hutan berhampiran Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tanjung Adang hari ini.

Operasi yang masuk hari kelapan itu menyaksikan anggota bomba secara 24 jam bergilir-gilir memadamkan kebakaran hutan yang berlaku sejak Rabu lalu.

Mohd Faizul berkata, tinjauan kedua itu penting memandangkan kawasan kebakaran membabitkan kawasan perumahan, perindustrian, pencawang elektrik dan telekomunikasi.

“Jika tidak boleh menggunakan kaedah bom air, kita akan teruskan dengan teknik pemecah kebakaran atau ‘fire breaker’ dan total flooding.

“Kaedah total flooding itu bertujuan untuk membanjirkan kawasan kebakaran kerana air meresap ke dalam tanah dan secara automatik api terpadam,” katanya.

Katanya, sehingga hari kelapan operasi pemadaman kebakaran hari ini, pihaknya masih meneruskan teknik benteng api serta membuat parit di kawasan kebakaran.

“Kaedah total flooding masih digunakan dan kita akan mengepam air masuk ke dalam kawasan yang masih lagi mengeluarkan asap,” katanya.

Beliau berkata, sehingga kini 75 peratus daripada 16 hektar hutan terbakar sudah berjaya dipadamkan berbanding 70 peratus semalam.

“Saya percaya dengan kerja secara berterusan dan bantuan air sungai serta pili bomba berdekatan, kerja pemadaman api dapat disempurnakan tiga ke empat hari lagi,” katanya.

Menyentuh lanjut katanya, 140 pasukan penyelamat termasuk bomba dan lain-lain agensi terbabit dalam operasi itu.

“Bagi pihak bomba sendiri, anggota ditugaskan 24 jam sehari serta dilaksanakan mengikut giliran empat jam,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 28 Ogos 2019 @ 5:29 PM