KAWASAN hutan berbukit berhampiran Taman Tema Legoland yang terbakar petang semalam. FOTO Ihsan Bomba.
KAWASAN hutan berbukit berhampiran Taman Tema Legoland yang terbakar petang semalam. FOTO Ihsan Bomba.
BERNAMA

KEBAKARAN membabitkan kawasan seluas 2.4 hektar hutan berbukit berhampiran Taman Tema Legoland dan sebuah hotel di Medini, Iskandar Puteri, Johor Bahru, petang semalam, berjaya dipadamkan awal hari ini.

Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Larkin Pegawai Bomba Kanan II Mohd Kamil Zulkiefle berkata, operasi pemadaman ditamatkan pada 3.15 pagi ini selepas api padam sepenuhnya.

“Api berjaya dikawal dan dipadamkan dengan kaedah ‘fire break’ iaitu membina parit bagi mengelakkan kebakaran merebak ke kawasan Taman Teman Legoland dan hotel berkenaan,” katanya menerusi kenyataan, hari ini.

Selain bomba, operasi pemadaman turut dibantu Pasukan Bertindak Kecemasan (ERT) Legoland dan hotel berkenaan.

Punca dan anggaran kerugian kebakaran itu masih dalam siasatan.

Semalam, bomba menerima panggilan kebakaran itu pada 4.25 petang sebelum enam anggota bersama sebuah jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat Larkin digerakkan melakukan operasi pemadaman.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 24 Ogos 2019 @ 9:48 AM