ISTANA Negara. FOTO NSTP
ISTANA Negara. FOTO NSTP
BERNAMA

YANG di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah ,hari ini, menitahkan rakyat Malaysia untuk memainkan peranan membantu Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dalam menangani penularan jangkitan Covid-19 di negara ini.

Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara Datuk Ahmad Fadil Shamsuddin dalam kenyataan, hari ini, berkata, Seri Paduka turut menzahirkan kebimbangan berikutan pengesanan 28 kes baharu jangkitan Covid-19 semalam.

Justeru, Ahmad Fadil berkata, Al-Sultan Abdullah menyeru rakyat memberi kerjasama sepenuhnya kepada KKM bagi proses siasatan dan mengenal pasti kontak rapat pesakit baharu itu supaya jangkitan Covid-19 dibendung dengan segera dan berkesan.

“Seri Paduka bertitah rakyat turut digesa untuk menghubungi Khidmat Nasihat Kesihatan Dalam Talian atau Pusat Kesiapsiagaan dan Tindak Cepat Krisis Negara CPRC), melalui laman sesawang KKM untuk sebarang keraguan dan pertanyaan serta maklumat,” katanya.

Beliau berkata, Yang di-Pertuan Agong turut menasihatkan rakyat supaya patuh kepada panduan dan langkah pencegahan yang dikeluarkan KKM untuk mengelak penularan Covid-19.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 7 Mac 2020 @ 9:49 AM