BERNAMA

YANG di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, hari ini menitahkan seluruh rakyat Malaysia agar mematuhi Perintah Kawalan Pergerakan yang diumumkan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dan berganding bahu membendung wabak Covid-19 di negara ini.

Perintah itu berkuat kuasa mulai esok sehingga 31 Mac ini.

Datuk Pengelola Bijaya Diraja Datuk Ahmad Fadil Shamsuddin berkata, baginda menzahirkan bahawa rakyat perlu menghadapi situasi ini dengan penuh tenang dan tidak cemas bagi membantu kerajaan serta pihak berkuasa membendung jangkitan Covid-19.

“Seri Paduka Baginda menggesa rakyat agar tidak mengambil sikap mudah dan sambil lewa terhadap Perintah Kawalan Pergerakan ini. Rakyat turut diminta untuk mengikuti panduan dan langkah pencegahan yang dikeluarkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) kerana ini adalah tanggungjawab kita bersama terhadap kesejahteraan dan keselamatan keluarga, masyarakat dan negara yang kita cintai ini,” katanya dalam kenyataan Istana Negara, hari ini.

Menzahirkan keprihatinan dengan peningkatan jumlah kes baharu Covid-19 di negara ini yang menyaksikan jumlah 553 kes di Malaysia semalam, Al-Sultan Abdullah amat memandang serius terhadap peningkatan jangkitan Covid-19 di negara ini dan menaruh penuh kepercayaan kepada kerajaan dan semua pihak berkuasa dalam menjalankan tanggungjawab membendung penularan penyakit itu.

Ahmad Fadil berkata, baginda sedar bahawa rakyat mungkin merasakan tindakan kerajaan Perikatan Nasional itu menimbulkan kesulitan untuk menjalani kehidupan seharian.

“Namun, kita perlu faham dan bersabar kerana kerajaan tidak boleh menunggu sehingga situasi ini menjadi lebih meruncing untuk mengambil tindakan yang drastik.

“Selaku Ketua Negara, Seri Paduka Baginda turut menyeru supaya rakyat Malaysia, dari pelbagai bangsa dan agama, bersatu dan bersama berganding bahu memainkan peranan membantu kerajaan dalam menangani penularan Covid-19 di negara ini.

“Seri Paduka Baginda yakin dengan semangat kental, keprihatinan dan kerjasama yang rakyat berikan, kita mampu membendung penularan wabak ini dengan cepat dan berkesan,” katanya.

Ahmad Fadil berkata, baginda turut menitahkan rakyat agar menghubungi Khidmat Nasihat Kesihatan Dalam Talian atau Pusat Kesiapsiagaan dan Tindak Cepat Krisis Negara (CPRC) melalui laman sesawang KKM untuk sebarang keraguan serta pertanyaan untuk mengelak penyebaran berita dan maklumat palsu yang boleh mencetuskan panik dan kekeliruan dalam kalangan rakyat.

Yang di-Pertuan Agong menzahirkan ucapan penghargaaan dan terima kasih kepada kerajaan pimpinan Muhyiddin, agensi-agensi kerajaan serta wira-wira tidak didendang, khususnya semua petugas kesihatan, penjawat awam dan semua pihak berkorban masa dengan bertungkus-lumus di atas usaha dan tindakan untuk memastikan langkah pencegahan serta kawalan dilaksanakan secara berkesan.

“Seri Paduka Baginda turut menyeru agar rakyat bersama-sama berdoa memohon ihsan Allah SWT supaya usaha-usaha kita ini dirahmati dan diberkati agar situasi Covid-19 dapat ditangani dan berakhir dengan segera, insya-Allah.”

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 17 Mac 2020 @ 9:41 PM
    YANG di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan menyampaikan Titah Diraja pada Majlis Perasmian Kompleks Kehakiman Syariah Negeri Pulau Pinang. FOTO MIKAIL ONG
    YANG di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan menyampaikan Titah Diraja pada Majlis Perasmian Kompleks Kehakiman Syariah Negeri Pulau Pinang. FOTO MIKAIL ONG