OPERASI  turut dilakukan di sebuah premis reflexology di dalam kawasan Waterfront, Anjung Samudera, Kota Kinabalu. FOTO Juwan Riduan
OPERASI turut dilakukan di sebuah premis reflexology di dalam kawasan Waterfront, Anjung Samudera, Kota Kinabalu. FOTO Juwan Riduan
Juwan Riduan


SERAMAI 22 warga asing termasuk dua warga China ditahan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Sabah dalam operasi bersepadu dinamakan Operasi Selera, Gegar dan Sapu di sekitar Kota Kinabalu, malam tadi.

Serbuan jam 11 malam itu mensasarkan warga asing yang menyalahgunakan pas lawatan sosial dan bekerja secara haram di Sabah.

Untuk rekod, 11 premis termasuk pusat hiburan, refleksologi dan restoran yang terletak di Waterfront, Anjung Samudera, Jalan Tun Fuad Stephen, di Kota Kinabalu diserbu JIM Sabah.

Operasi berkenaan turut disertai Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Mohd Azis Jamman.

Menurut Mohd Azis, operasi itu dilakukan berpandukan kepada maklumat dan aduan orang ramai berkenaan kehadiran pendatang asing yang memegang pas lawatan sosial namun bekerja di kawasan itu.

“Serbuan dijalankan di semua premis yang terletak di Waterfront dan hasilnya memeriksa 213 individu dengan penahanan 22 warga asing termasuk dua warga China yang memegang pas lawatan sosial tetapi bekerja sebagai tukang masak di sebuah restoran yang kita serbu.

“Kita turut menahan beberapa individu yang tidak mempunyai dokumen yang bekerja di kawasan berkenaan,” katanya pada sidang media selepas operasi berkenaan, malam tadi.

Mohd Azis berkata, semua yang ditahan disiasat mengikut Peraturan 39(B) Peraturan-Peraturan Imigresen 1963 kerana menyalahguna pas lawatan sosial, Seksyen 15(1)(c) akta sama kerana tinggal lebih masa dan Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 kerana tiada dokumen sah.

Terdahulu, operasi itu diketuai Pengarah JIM Sabah Datuk Dr Muhamad Sade Mohamad bersama 15 pegawai kanan dan 98 anggota.

Sementara itu, Mohd Azis berkata, sepanjang tahun lalu, JIM Sabah sudah melaksanakan 1,199 operasi penguatkuasaan terhadap pendatang asing tanpa izin (PATI) di negeri itu, dan seramai 28,555 individu diperiksa.

“Daripada jumlah itu, seramai 4,180 PATI dan 23 majikan ditangkap, serta 12,230 PATI diusir balik ke negara asal mereka. Ini satu pencapaian memberangsangkan dan mahu ia diteruskan bagi memburu PATI,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 8 Februari 2020 @ 4:54 PM