KEADAAN kereta yang terlibat dalam kemalangan. FOTO ihsan Polis
KEADAAN kereta yang terlibat dalam kemalangan. FOTO ihsan Polis
Adnan Ibrahim

IDENTITI mangsa terbabit dalam kemalangan maut di Kilometer 42, Jalan Batu Pahat- Mersing dekat Kluang, malam tadi sudah dikenal pasti.

Ketua Polis Daerah Kluang, Asisten Komisioner Mohd Abduh Ismail berkata, Aishah Afiqah Mashaizar, 26, memandu Perodua Myvi berseorangan maut ketika dirawat di wad kecemasan Hospital Enche Besar Hajjah Khalsom (HEBHK) Kluang.

Manakala, dua lagi mangsa iaitu warganegara Indonesia, Jambong, 63, dan Suparman, 36, yang menaiki motosikal maut di tempat kejadian.

“Dalam kejadian itu, seorang wanita berusia 30 tahun yang juga memandu Perodua Myvi patah kaki kiri manakala seorang lelaki berusia 49 tahun serta seorang wanita yang berumur 25 tahun yang menaiki sebuah lagi Perodua Myvi dirawat di Zon Merah hospital sama kerana mengalami kecederaan.

“Siasatan awal mendapati, dua lelaki warganegara Indonesia yang menaiki motosikal datang dari arah Kluang menghala ke Ayer Hitam cuba memasuki simpang sebelah kanan sebelum dilanggar dari belakang oleh pemandu wanita yang datang dari arah sama,” katanya melalui kenyataan, hari ini.

Menurut Mohd Abduh, akibat perlanggaran itu, wanita berkenaan hilang kawalan seterusnya bertembung dengan kereta dipandu Aishah yang datang dari arah bertentangan.

“Manakala Suparman yang membonceng motosikal ditunggang oleh Jambong terpelanting ke arah sebuah lagi kereta yang dipandu oleh seorang lelaki itu,” katanya.

Mohd Abduh berkata, kes akan disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

“Semua mangsa maut dirujuk ke Jabatan Forensik HEBHK untuk proses bedah siasat, hari ini sebelum diserahkan kepada ahli keluarga manakala dua warganegara Indonesia akan diserahkan kepada pihak berkaitan untuk urusan selanjutnya,”katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 8 Februari 2020 @ 10:56 AM