Mohamad Fahd Rahmat


Kluang: Siti Nurzannah Kahdar, 25 tahun, penumpang di bahagian hadapan kereta Myvi yang terbabit kemalangan di KM71, Jalan Batu Pahat - Mersing dilaporkan meninggal dunia ketika menerima rawatan di zon merah, Hospital Enche' Besar Hajjah Khalsom, Kluang, Johor, sebentar tadi.

Ketua Polis Daerah Kluang, Asisten Komisioner Bahrin Mohd Noh berkata, mereka yang menaiki kereta itu dari arah Kluang ke Kahang untuk berkelah di pantai Air Papan Mersing.

Menurutnya, dengan pertambahan kematian itu menjadikan enam terbunuh termasuk dua kanak-kanak lelaki berusia 11 tahun.

"Hubungan pemandu Perodua Myvi Mohd Sharizan Syafandi, 24, dengan penumpang depannya, Siti Nurzannah Kahdar, 25, adalah rakan.

"Manakala hubungan Siti Nurzannah dengan Masrina Kahdar 20, adalah adik beradik.

"Penumpang belakang Myvi Muhammad Zharfan Noramin, 15; dan Muhammad Syakir Noramin, 10, juga adalah adik beradik.

"Hubungan mereka yang menaiki Honda Stream adalah sebuah keluarga dan mereka dari arah Kahang ke Kluang.

"Mereka dalam perjalanan pulang ke kediaman di Batu Pahat selepas mengambil anak mereka di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Mersing," katanya ketika dihubungi hari ini.

Beliau berkata, hasil siasatan awal mendapati Perodua Myvi hilang kawalan dan memasuki arah bertentangan lalu terbalik dilanggar Honda Stream.

"Seorang kanak-kanak perempuan iaitu penumpang belakang Perodua Myvi, Nur Annalesha Rania Mohammad Arifin, 6, parah di kepala dan pinggul sedang menerima rawatan di zon merah Hospital Enche' Besar Hajjah Khalsom.

"Dua lagi parah dan menerima rawatan di zon merah HEBHK iaitu pemandu Honda Stream, Zulkeflly Zakariah, 54, dan isterinya Kamariah Yusoff, 47.

"Zulkeflly patah rusuh kiri dan Kamariah parah cedera di tangan dan kaki kiri," katanya.

Sementara itu, ahli keluarga dan kenalan mangsa memenuhi perkarangan Unit Perubatan Forensik HEBHK di sini.

Terdahulu, media melaporkan lima maut termasuk dua kanak-kanak lelaki berusia 11 tahun selepas Perodua Myvi dinaiki terbabit dalam kemalangan dengan Honda Stream di sini 4.40 petang tadi.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 22 January 2023 @ 10:51 PM
AHLI keluarga dan kenalan mangsa kemalangan yang menyebabkan enam terbunuh di kilometer 71, Jalan Batu Pahat - Mersing, Kluang Johor memenuhi perkarangan Unit Perubatan Forensik Hospital Enche' Besar Hajjah Khalsom, Kluang, Johor, di sini. Foto Mohamad Fahd Rahmat
AHLI keluarga dan kenalan mangsa kemalangan yang menyebabkan enam terbunuh di kilometer 71, Jalan Batu Pahat - Mersing, Kluang Johor memenuhi perkarangan Unit Perubatan Forensik Hospital Enche' Besar Hajjah Khalsom, Kluang, Johor, di sini. Foto Mohamad Fahd Rahmat