MAZLAN bersama ahli keluarganya yang terbabit dalam bidang robotik. FOTO Mohd Rafi Mamat.
MAZLAN bersama ahli keluarganya yang terbabit dalam bidang robotik. FOTO Mohd Rafi Mamat.
Mohd Rafi Mamat


BERMULA dengan hanya ingin mencuba, kini minat seorang guru agama terhadap bidang robotik amat menebal terutama selepas banyak kejayaan dicipta sekolahnya dalam bidang itu.

Mazlan Muhamad Yusof, 39, yang mengajar di Sekolah Kebangsaan (SK) Seri Terentang, Pekan, berkata, pembabitannya dalam robotik hampir dua tahun lalu selepas tertarik melihat kejayaan rakan menghasilkan permainan itu.

Lebih menarik, dua anaknya berusia 11 dan 12 tahun turut sama meminati bidang itu hingga terpilih mewakili negara ke peringkat kebangsaan dan antarabangsa.

Katanya, pada peringkat awal dia terpaksa berkorban dengan membeli dua set robotik dengan harga RM7,000 untuk kegunaan sendiri termasuk dua anaknya.

“Minat dalam bidang teknologi mendorong saya belajar melalui Internet dan bantuan rakan bagi menghasilkan pelbagai reka bentuk robot yang sesuai untuk menyertai pertandingan.

“Tanpa kemahiran dalam bidang teknologi agak sukar untuk seseorang menghasilkan robot yang seratus peratus menggunakan peralatan elektronik,” katanya.

Dia yang berkelulusan Ijazah Sarjana Muda bahasa Arab dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) Gombak, Selangor berkata, sokongan isteri Kamisah Abdulah Hamid, 39, menambahkan lagi minatnya dalam bidang robotik.

Mazlan yang turut memiliki Ijazah Sarjana Teknologi Maklumat berkata, dia meluangkan masa antara dua hingga tiga jam untuk menghasilkan robot yang boleh bergerak, dikawal dan bentuk yang sesuai bagi menyertai pertandingan.

“Saya bercita-cita untuk berkongsi minat dalam bidang robotik dengan kesemua enam anak, kanak-kanak sesuai dengan permainan ini kerana menggunakan kemahiran aras tinggi,” katanya yang berpengalaman 16 tahun sebagai guru di tiga sekolah rendah di Sarawak dan Pahang.

Mazlan yang berasal dari Baling, Kedah berkata, dia gembira kerana hasil usaha yang dilakukan murid SK Seri Terentang berjaya mencatat beberapa kejayaan membanggakan, dan terbaru meraih kejuaraan pada pertandingan robotik di Korea Selatan dan China.

Menurutnya, Anugerah Mentor yang dimenangi pada World Championship MakeX Robotics Competition 2019 di Guangzhou, China akhir tahun lalu menambahkan semangatnya untuk berjaya dalam bidang berkenaan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 28 January 2020 @ 8:24 PM